Ganti Wenger sebagai pengurus Arsenal? Saya tidak tahu - Thierry Henry

Astro Arena
Mac 27, 2017 17:43 MYT
Henry (kiri) merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Arsenal dan muncul sebagai calon popular untuk menggantikan Wenger. - Foto Reuters
LAGENDA Arsenal, Thierry Henry, tidak pasti sama ada dia bersedia untuk menggantikan bos yang berada dalam tekanan, Arsene Wenger, sebagai pengurus.
Kontrak Wenger akan tamat pada akhir musim ini dan masa depannya menjadi tidak menentu di sebalik tekanan daripada peminat apabila Arsenal bergelut dalam Liga Perdana Inggeris dan di pentas Eropah.
Arsenal tewas empat kali daripada lima perlawanan lalu dalam liga untuk jatuh ke tangga keenam, sambil menderita dengan penghinaan daripada kekalahan agregat 2-10 kepada Bayern Munich dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara.
Henry -- penjaring terbanyak sepanjang zaman Arsenal -- muncul sebagai calon untuk menggantikan Wenger tetapi pembantu jurulatih Belgium berusia 39 tahun itu sedar dia perlu belajar banyak perkara.
"Ia tidak bergantung kepada saya, ada perkara yang perlu dihormati, ia adalah kelab di hati saya tetapi saya tidak mempunyai hak," kata Henry kepada Canal +.
"Nama saya dipetik untuk menjadi pengganti Wenger, saya dengar perkara itu. Tetapi ia sukar bagi saya untuk bercakap mengenainya kerana saya menghormati segala-gala yang jurulatih telah lakukan.
"Adakah saya bersedia? Saya tidak tahu dan tiada siapa yang tahu, tetapi saya juga perlu belajar tugas saya."
"Saya tidak akan menjadi perunding sepanjang hidup saya tetapi kejurulatihan bukan matlamat saya," kata Henry, yang bekerja bersama ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez.
"Saya tidak tetapkan apa-apa matlamat di depan, saya akan menyukainya (menjadi jurulatih) dan saya akan melakukan apa saja untuk itu. Tetapi, sekarang, saya dalam mod pembelajaran."
#Arsenal #Arsene Wenger #Liga Juara-Juara #Liga Perdana Inggeris
;