Gandingan dengan Liu Ying bukan sekadar eksperimen - Yew Sin
Astro Arena
Februari 7, 2022 05:06 MYT
Februari 7, 2022 05:06 MYT
PEMAIN beregu profesional negara, Ong Yew Sin, menolak presepsi bahawa gandingannya dengan Goh Liu Ying sekadar eksperimen jangka pendek.
Dia sebaliknya berharap dapat mencapai kejayaan bermakna dalam acara beregu campuran.
Yew Sin, yang turut beraksi dalam acara beregu lelaki bersama Teoh Ee Yi, akan mula berpasangan dengan Liu Ying dalam dua kejohanan, iaitu Terbuka Jerman dan Kejohanan Seluruh England bulan depan.
Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang janggal buat Yew Sin memandangkan dia sebelum ini turut pernah beraksi dalam acara berkenaan sebagai gandingan kepada Peck Yen Wei sekitar 2016 sehingga bergelar naib juara Cabaran Antarabangsa Romania.
Dia mahu memanfaatkan peluang beraksi dengan Liu Ying untuk memberikan nilai tambah buat gaya permainannya, memandangkan pemain itu mempunyai reputasi besar di peringkat antarabangsa.
Yew Sin berkata kepada Nadi Arena: "Saya fikir bermain dalam acara beregu campuran sebagai acara tambahan mungkin dapat membantu saya dalam acara beregu lelaki.
"Keutamaan saya tetap kepada acara beregu lelaki tetapi acara beregu campuran akan membantu saya meningkatkan permainan."