Gandingan Aubameyang, Lacazette benam semangat Cardiff

Astro Arena
September 2, 2018 07:21 MYT
Pemain Arsenal, Alexandre Lacazette menjaringkan gol ketiga pasukan itu ketika perlawanan EPL menentang Cardiff City di Stadium Cardiff City, Cardiff, Britain, 2 Sept, 2018. REUTERS
CARDIFF CITY 2 ARSENAL 3
Jaringan daripada Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette menyelamatkan Arsenal daripada dimalukan Cardiff City selepas menang 3-2 dalam aksi di Stadium Cardiff City, pada Ahad.
Shkodran Mustafi menanduk masuk gol pendahuluan The Gunners selepas 11 minit permainan sebelum skuad bimbingan Neil Warnock itu menamatkan rentetan tujuh perlawanan tanpa jaringan sebelum tamat babak pertama menerusi Victor Camarasa.
Pengendali Arsenal, Unai Emery, membawa masuk Mesut Ozil dan Lacazette dalam kesebelasan utama dan kelibat dua tonggak utama itu membolehkan Aubameyang menjaringkan gol kedua pada minit ke-62, hanya untuk menyaksikan Danny Ward kembali mengikat kedudukan.
Lacazette didakwa melakukan kekasaran terhadap Harry Arter dan sepakan percuma itu membolehkan Ward menyumbat gol penyamaan tetapi penggempur Perancis itu akhirnya meraih jaringan pertama dalam saingan liga musim ini, melepasi halangan Sol Bamba sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Neil Etheridge.
Cardiff bermula garang selepas hantaran Petr Cech secara tidak sengaja singgah ke kaki Arter yang melepaskan tendangan pada minit kelapan, namun Mustafi ternyata lebih bijak menggunakan ruang yang ada untuk menanduk masuk gol pembukaan hasil sepakan sudut Granit Xhaka.
Etheridge pantas menafikan usaha Nacho Monreal untuk melebarkan kedudukan sebelum rembatan rendah Lacazette sekadar tersasar.
Camarasa bernasib baik kerana walaupun gagal mengawal dengan kemas bola hantaran Joe Bennett, dia masih sempat melepaskan rembatan jarak dekat untuk mengikat kedudukan buat tuan rumah.
Aksi berbalas serangan disaksikan sepanjang sejam permainan dan barisan bintang The Gunners jelas lebih unggul.
Lacazette menggunakan tumit untuk menyungkit bola hantaran Ozil, membuka ruang buat Aubameyang dan bekas tonggak Borussia Dortmund itu melencongkan bola melepasi jangkauan Etheridge dari jarak 25 ela.
Bagaimanapun, jaringan itu tidak mematahkan semangat Cardiff, menyaksikan Ward menyempurnakan bola tandukan ke belakang daripada Sean Morrison tatkala aksi berbaki 20 minit.
Namun, Bobby Reid tersilap langkah dalam usaha untuk menyekat bola daripada dikutip Lacazette selepas hantaran disempurnakan Lucas Torreira dan bekas pemain Olympique Lyon itu melengkapkan kemenangan Arsenal sembilan minit sebelum tamat permainan.
#Alexandre Lacazette #Arsenal #bola sepak #Cardiff City #EPL #Pierre-Emerick Aubameyang
;