Gaji pemain Perak FC: "Maaf, bukan tak bersimpati tapi..." - Saarani
Aida Aziz
April 1, 2022 22:40 MYT
April 1, 2022 22:40 MYT
IPOH: Walaupun berkali-kali diasak berhubung bantuan kepada Perak FC yang berdepan isu pembayaran gaji, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad tetap mengulangi pendiriannya sebelum ini.
Bahkan Saarani menjelaskan pihaknya juga ada menerima permohonan rasmi daripada pihak tertentu meminta peruntukan sebanyak RM2 juta, khusus untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Bagaimanapun tegasnya, kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya campur tangan dan membantu melunaskan bayaran gaji yang tertunggak, sedangkan ramai golongan miskin yang perlu dibantu.
"Kalau masalah ini berkaitan pengurusan kena diselesaikan melalui Pesuruhjaya Sukan dan persatuan bola sepak.
"Saya minta mereka selesaikan ikut saluran betul, saya minta maaf... bukan saya tak nak campur atau tak berminat dengan bola atau sukan.
"Ada permohonan rasmi supaya kerajaan negeri hulur RM2 juta kepada beberapa orang pemain bola sepak. RM2 juta itu kalau saya berbelanja RM200 saja untuk (seorang) ketua isi rumah (KIR) miskin, berapa ribu KIR saya boleh bantu?," katanya.
Saarani ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Saarani berharap keputusannya itu dapat diterima dan difahami oleh peminat bola sepak negeri ini.
"Saya minta maaf, ia bukan bermakna saya tidak bersimpati tetapi saya ada tanggungjawab lain yang lebih besar.
"Jangan memikirkan bahawa saya tidak bersimpati, tidak. Saya bersimpati tapi saya kena berlaku adil pada golongan lain juga termasuk KIR miskin, lagi-lagi bulan Ramadan ini," katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan, Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah berharap isu gaji yang dihadapi pasukannya dapat diselesaikan dengan kadar segera.
Menurutnya, beliau tidak sanggup memikirkan masalah yang dihadapi pasukan berkenaan, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan Ahad ini.
Presiden Gabungan Persatuan Penyokong Bola Sepak Perak, Syamsul Bahrin Putra Ahmad Shibi, juga bersuara mahu Menteri Besar campur tangan berhubung permasalahan yang berlaku dalam Perak FC.
Katanya, pemilik Perak FC iaitu Impact Media & Communication (IMC) telah gagal melunaskan pembayaran gaji kepada pemain dan pegawai pasukan selama lima hingga tujuh bulan.
Perkara itu menyebabkan pihak Malaysian Football League (MFL) mengeluarkan surat peringatan dan pasukan itu boleh digantung atau disekat penyertaan dalam Liga Malaysia.