Gaji 15 bulan tidak dibayar, Zulhamizan buat aduan ke FAM

Astro Arena
Februari 14, 2018 16:37 MYT
ZULHAMIZAN: Sudah hilang sabar.
BEKAS jurulatih Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria, mengesahkan tidak dibayar gaji sejak 15 bulan lalu oleh bekas majikannya itu, sekali gus mendorongnya menuntut keadilan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Isu gaji pasukan itu bukan isu baru dalam bola sepak Malaysia dan Zulhamizan sudah hilang sabar berhubung perkara tersebut apabila tampil membuat aduan di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.
"Kami seperti tertanya-tanya dan dipermainkan oleh tarikh. Menunggu seperti buah yang tak gugur," katanya.
"Kami mohon pihak yang berkuasa dan kepimpinan tertinggi untuk memaklumkan apa permasalahan sebenarnya sehingga kami menunggu 15 bulan bagi menanti upah kami sebagai jurulatih, termasuk pemain Kuantan FA.
"Saya harap pihak yang berkuasa memberi penjelasan di atas keperitan kami sepanjang 2017 lalu," tambahnya.
Zulhamizan menjelaskan kehadirannya di Wisma FAM hari ini turut mahu mendapat nasihat daripada Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).
"Saya mahu bertanya kepada persatuan jurulatih apakah yang perlu saya lakukan dan ke mana harus disalurkan (aduan). Itu tujuan saya datang ke FAM," katanya.
Kuantan FA sebelum ini berdepan isu tunggakan gaji yang serius hingga terdapat laporan mendakwa beberapa pemain mereka terpaksa melakukan kerja sambilan untuk memperoleh pendapatan sampingan.
Biarpun berdepan masalah tunggakan gaji, namun skuad The Seagulls yang kini dikenali sebagai Marcerra Kuantan FA tetap kekal berada dalam Liga Perdana apabila menghuni kedudukan kesembilan dengan mengumpul 16 mata musim lalu.
#aduan #bekas jurulatih #bola sepak #FAM #Kuantan FA #PJBM #zulhamizan zakaria
;