Gagal kekang situasi bola mati punca Perak FC tumbang kepada Penang FC
Bernama
Ogos 4, 2021 10:28 MYT
Ogos 4, 2021 10:28 MYT
IPOH: Gagal bertahan dengan baik ketika situasi bola mati antara faktor Perak FC tumbang 3-5 di tangan Penang FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Perak, malam tadi.
Penolong jurulatih Perak FC Mohd Shahril Nizam Khalil berkata tiga daripada lima gol yang dihasilkan adalah berpunca daripada situasi tersebut dan ia tidak sepatutnya berlaku jika barisan pertahanan melakukan kawalan rapi terhadap pergerakan pemain lawan.
"Para pemain perlu fokus kepada situasi sepakan percuma atau sepakan sudut kerana Penang memang sangat bahaya dengan situasi bola mati seperti itu lebih-lebih mereka mempunyai ramai pemain tinggi lampai.
"Itu apa yang saya beritahu (pada pemain) tapi kami kena (gol) juga melalui tiga situasi bola mati disebabkan kelekaan dan kegagalan pemain untuk keluarkan bola dari kawasan penalti," katanya pada sesi sidang media sejurus selesai perlawanan.
Terdahulu, dalam perlawanan tersebut Penang FC melalui pemain import dari Brazil, Rafael Vitor berjaya menjaringkan hatrik pada minit pertama, kelapan dan ke-28 manakala dua lagi gol dihasilkan oleh Casagrande pada minit ke-21 serta Abdul Azim Ibrahim pada minit ke-88.
Tiga gol yang dihasilkan oleh pasukan Perak FC pula telah dijaringkan oleh penyerang import dari Ghana, Nana Poku di minit ke-16, 35 dan 58.
Mohd Shahril berkata meskipun tewas namun beliau tetap memuji semangat juang dan kesungguhan ditampilkan oleh para pemainnya dalam usaha untuk memungut tiga mata penuh.
"Saya rasa pemain sudah bagi yang terbaik pada malam ini (semalam) dan kami dapat menjaringkan tiga gol. Cuma, bila Penang dapat gol kelima di penghujung permainan, ia sedikit sebanyak menjatuhkan semangat pemain untuk terus melawan," katanya.
Mengulas pertemuan menentang UiTM FC di gelanggang lawan pada 7 Ogos ini, beliau berharap para pemain tidak akan berputus asa dan terus berusaha meningkatkan prestasi bagi memastikan kemenangan dapat dijelmakan.
"Kalau ikut matematik, kami masih ada peluang walaupun tahu UiTM bukan lawan yang mudah lebih-lebih lagi mereka dibantu dengan kehadiran beberapa import baharu. Tapi, cabaran ini akan terus kami harungi," katanya.
Ditanya mengenai status terkini tonggak import dari Brazil, Leandro Dos Santos dan Rainderson, katanya pihak pengurusan masih melakukan perbincangan dengan kedua-dua pemain berkenaan namun kata putus berhubung perkara itu masih dalam proses rundingan.
-- BERNAMA