Gagal ke separuh akhir, Malaysia hanya 'kumpul', 'bawa' pemain untuk bertanding - Elavarasan
Bernama
Mei 11, 2023 06:15 MYT
Mei 11, 2023 06:15 MYT
PHNOM PENH: Ketua jurulatih skuad Bawah 22 tahun (B-22) E. Elavarasan memberi gambaran faktor yang mempengaruhi kegagalan pasukannya mara ke separuh akhir perlawanan bola sepak lelaki pada Sukan SEA 2023 di sini.
Elavarasan yang juga penolong ketua jurulatih skuad senior berkata berbanding pasukan lain yang membuat persiapan rapi sebelum temasya sukan dwitahunan itu, skuad Harimau Muda di bawah kendaliannya itu hanya "dikumpul" dan "dibawa" bertanding.
"Beberapa pasukan datang ke sini dengan persiapan yang baik, buat Malaysia apa yang kita lakukan hanya kumpulkan dan bawa mereka (ke sini), perlawanan demi perlawanan mereka bertambah baik tetapi kita kalah pada masa tertentu kejohanan yang sekurang-kurangnya kita perlu seri, jadi itu yang membuatkan perbezaan.
"Ia pengalaman berharga yang kami pelajari di sini. Buat peminat Malaysia, kami memohon maaf kerana tidak dapat membawa pasukan ke pusingan kedua.
"Kami juga berterima kasih kepada peminat yang selalu bersorak dan menyokong pasukan, serta persatuan dan kelab yang membantu kita melepaskan pemain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan setelah Malaysia membenam Singapura 7-0 pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Prince di sini.
Mengulas mengenai perlawanan itu, beliau berkata Singapura tidak menurunkan skuad terbaiknya yang menyebabkan prestasi hambar sehingga bolos tujuh gol manakala anak buahnya mengambil setiap peluang yang dicipta untuk menjaringkan gol.
Sementara itu, Elavarasan berkata kakitangan kejurulatihan akan berbincang dan melihat kepada kelemahan pemain yang perlu diperbaiki untuk menghadapi kejohanan seterusnya.
"Kita perlu melihat di mana kelemahan, di mana kita perlu kembangkan dan bergerak ke hadapan," katanya.
Skuad kendalian Elavarasan menamatkan saingan di tempat ketiga dalam Kumpulan B dengan jumlah enam mata daripada empat perlawanan di belakang Thailand dan Vietnam, dan gagal untuk mara ke separuh akhir.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat untuk bola sepak Sukan SEA ialah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur iaitu perak manakala kali terakhir meraih emas adalah di Indonesia pada 2011.
-- BERNAMA