Gagal di Qatar, jurulatih Oman dipecat

Sinar Harian
Januari 27, 2024 14:18 MYT
Ivankovic dianggap gagal memacu Oman untuk memberi tentangan jitu kepada lawan yang berada dalam Kumpulan F Piala Asia iaitu Arab Saudi, Thailand dan Kyrgyzstan.- Foto Sinar Harian
BRANKO Ivankovic menjadi mangsa pertama apabila dipecat sebagai jurulatih Oman susulan aksi kurang memberangsangkan dalam saingan Piala Asia Qatar 2023 di Doha.
Perkhabaran duka itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di laman sosial Persatuan Bolasepak Oman pada Jumaat.
Persatuan tersebut menyatakan tidak berhasrat untuk melanjutkan khidmat ketua jurulatih berusia 69 tahun dari Croatia itu.
Ivankovic dianggap gagal memacu Oman untuk memberi tentangan jitu kepada lawan yang berada dalam Kumpulan F Piala Asia iaitu Arab Saudi, Thailand dan Kyrgyzstan.
Dalam kesemua tiga aksi, mereka hanya berjaya meraih dua mata termasuk seri 1-1 ketika menentang Kyrgyzstan pada malam Khamis.
Terdahulu mereka terikat tanpa jaringan dengan Thailand dan tewas 1-2 kepada Arab Saudi.
Sebagai rekod, Ivankovic mengemudi Oman sejak tahun 2020 dan akan meninggalkan pasukan Timur Tengah itu yang ketika ini menghuni tangga ke-74 dunia.
Situasi itu mungkin memberi kelegaan buat Malaysia yang menanti kedatangan Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Bukit Jalil pada Mac depan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Piala Asia #Branko Ivankovic #jurulatih Oman #dipecat
;