Gabriel Jesus menjadi-jadi di Arsenal

Astro Arena
Ogos 14, 2022 08:40 MYT
Gabriel Jesus (kanan) menjaringkan gol kedua Arsenal dalam perlawanan EPL menentang Leicester City di Stadium Emirates, London, 13 Ogos 2022. (Foto AP)
ARSENAL 4 LEICESTER CITY 2
Mikel Arteta memuji Gabriel Jesus kerana meningkatkan jentera serangan Arsenal selepas pemain Brazil itu mencetak dua gol selain mencipta dua bantuan jaringan dalam kemenangan mendebarkan ke atas Leicester City, malam tadi.
Arsenal mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan membenam The Foxes 4-2 di Stadium Emirates untuk melakar gol pertamanya sejak dipancing daripada Manchester City bulan lalu.
Dengan itu, Jesus muncul pemain pertama yang merekodkan lebih satu gol dalam penampilan sulungnya untuk The Gunners dalam kempen liga, malah penyerang berusia 25 tahun itu juga menjadi pemain Arsenal pertama yang merobek gawang lawan dan mencipta gerakan gol dalam perlawanan liga sejak Theo Walcott melakukannya ketika menentang Newcastle United pada Disember 2012 (tiga gol dan dua bantuan jaringan).
Ini bermakna juara empat kali itu seiring dengan Manchester City -- menundukkan Bournemouth 4-0 -- selepas kecewa tercicir tiket Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu, dan Arteta gembira dengan permulaan cemerlang barisannya.
"Saya fikir dia meningkatkan standard kami menerusi usahanya dalam latihan setiap hari dan cara dia bercakap," kata pengurus Arsenal itu.
“Saya fikir ia cukup semula jadi tetapi pada masa yang sama mengagumkan kerana dapat menyesuaikan diri dengan pantas, kami juga menagih penyudah pemain lain.
“Jika anda mahu berada di puncak maka kami perlu menjaringkan banyak gol dan kami tidak boleh bergantung kepada dua atau tiga pemain sahaja.

Not bad for a home debut Emirates Stadium#ARSLEI pic.twitter.com/BxiYIPDr9Z

— Arsenal (@Arsenal) August 13, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Kami sedar tentang kebolehan Gabby. Dia menjaringkan dua gol dan mencipta dua gerakan gol dan dia masih kecewa di bilik persalinan kerana mengatakan dia sepatutnya menyumbat empat gol.
“Itu standard yang dipamerkannya, itulah mentaliti yang diperlukan jika kami mahu pergi ke tahap yang berbeza, kami perlukan mentaliti itu.
"Saya tidak mahu berdepannya. Saya tidak pernah menjadi pertahanan tetapi saya boleh bayangkan bahawa mereka tidak akan menggemari kelibatnya. Dia serba boleh, memiliki naluri, sentiasa tajam serta proaktif untuk bermain dalam sebarang saat dan di mana-mana fasa. Corak permainan kami dan kehadirannya dia adalah ancaman sebenar."
Gol pembukaan Jesus itu meletakkannya sebagai pemain Brazil ke-12 yang menjaringkan gol untuk kelab London berkenaan dalam EPL, terbanyak berbanding kelab lain.
Penyerang itu hanya membuat 21 permulaan liga pada musim terakhirnya bersama City tetapi telah mengambil alih peranan penting sejak berkelana ke Emirates.
Lantas, Arteta menyedari kepentingan menguruskan beban tugasnya sambil menambah: "Kami akan menuntutnya untuk terlibat dalam banyak perlawanan jadi kami perlu menguruskan beban itu dan cara kami berlatih adalah berbeza.
"Kami perlu berada dalam kawalan dan mudah-mudahan begitu."
#Gabriel Jesus #EPL #Arsenal #Leicester City
;