G. Shanti harap muka baharu atasi rekod kebangsaannya
Bernama
Ogos 15, 2017 08:15 MYT
Ogos 15, 2017 08:15 MYT
Bekas ratu pecut negara G. Shanti raberharap rekod kebangsaan 100 meter dan 200 meter yang dipegangnya sehingga kini dapat dipecahkan atlet olahraga pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini.
Menurut anak jati Kuala Kangsar, Perak itu, rekod yang dipegangnya sudah terlalu lama dan sudah tiba masanya ia disandang oleh muka baharu.
"Saya harap rekod saya dapat dipecahkan sebab ianya dah lama sangat dan sekarang pun teknologi sudah semakin canggih berbanding zaman kami dahulu," katanya ketika ditemui pada majlis penerimaan tajaan Kumpulan Utusan di sini, pada Isnin.
Anak bongsu daripada 12 adik-beradik itu adalah pemegang rekod kebangsaan 100 meter (11.50 saat) selama 24 tahun dan juga 200 meter (23.37 saat) selama 19 tahun.
Pelari pecut wanita kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli pernah mengatasi rekod Shanti dengan catatan 11.36 dalam acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga AGN League 7 di Pretoria, Afrika Selatan pada Mac lepas.
Bagaimanapun, ia tidak diiktiraf juri pertandingan kerana Zaidatul Husniah dikatakan mendapat bantuan angin sebanyak 2.5 saat, sekali gus mengekalkan Shanti sebagai pemegang rekod kebangsaan acara itu sehingga kini.
Sementara itu, Shanti turut melihat prestasi olahragawati yang akan beraksi dalam temasya sukan dwitahunan itu pada tahap yang memberangsangkan dan beliau optimis skuad olahraga negara telah bersedia 100 peratus, selain berharap mereka dapat mengawal emosi dengan baik semasa bertanding.
-- BERNAMA