Fungus di Chernobyl didapati hidup dengan memakan radiasi nuklear
Amanz
Disember 17, 2024 12:19 MYT
Disember 17, 2024 12:19 MYT
INSIDEN malang di reaktor nuklear Chernobyl pada tahun 1986 menyebabkan kawasan seluas 2600 kilometer persegi di Ukraine tidak selamat didiami oleh manusia.
Ringkasan AI
- Insiden Chernobyl pada tahun 1986 menyebabkan kawasan luas di Ukraine tidak selamat didiami oleh manusia.
- Saintis menemukan fungus Cladosporium Sphaerospermum yang hidup dengan memakan radiasi nuklear di Chernobyl.
- Fungus ini boleh digunakan untuk pembersihan kawasan tercemar radiasi dan sebagai pendinding radiasi bagi angkasawan.
Radiasi nuklear yang tinggi boleh menyebabkan penyakit kanser dan kematian. Namun, saintis dari Rutgers University telah menemukan fungus yang hidup dengan memakan radiasi nuklear di Chernobyl.
Fungus hitam Cladosporium Sphaerospermum ditemukan hidup pada dinding reaktor 4 di mana letupan berlaku hampir 40 tahun lalu.
Ia melakukan proses radiosintesis yang mengubah sinar gama menjadi sumber tenaga untuk meneruskan hidup, sama seperti pokok hijau melakukan proses fotosintesis cahaya matahari.
Cladosporium sphaerospermum masih boleh hidup dalam kawasan radiasi yang akan menyebabkan kematian pada manusia.
Sebelum ini, populasi serigala dan cacing tanah di Chernobyl juga telah ditemukan mempunyai kemampuan kalis radiasi.
Saintis kini meneruskan kajian ke atas fungus ini bagi tujuan pembersihan kawasan yang dicemari radiasi.
Ia juga boleh digunakan sebagai bahan pendinding radiasi oleh angkasawan yang akan meneroka galaksi.
Radiasi yang tinggi di angkasa lepas menyebabkan pengembaraan ke Marikh adalah mustahil kerana merosakkan ginjal manusia. -Amanz