Formula Satu: Mercedes kuasai podium satu dan dua
Astro Awani
Mac 30, 2014 18:32 MYT
Mac 30, 2014 18:32 MYT
Mercedes AMG Petronas menguasai Litar Antarabangsa Sepang setelah Lewis Hamilton dan Nico Rosberg mendominasi kedudukan pertama dan kedua perlumbaan Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia 2014, hari ini.
Kedudukan ketiga dihuni juara dunia tahun lalu, Sebastian Vettel dari pasukan Red Bull.
Fernando Alonso dari pasukan Ferrari berada di tempat keempat diikuti Nico Hulkenberg dari Force India.
Rosberg yang terdahulu memenangi perlumbaan pembuka musim di Australia, kini masih mendahului kejohanan dengan 25 mata.
Antara pemandu ternama lain yang memenuhi 10 kedudukan teratas ialah Jenson Button (McLaren), Felipe Massa (Williams), Valtteri Bottas (Williams), Kevin Magnussen (McLaren) dan Daniil Kvyat (Toro Rosso).
Perlumbaan turut disaksikan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir.
Sebelum perlumbaan dimulakan, perdana menteri bersama 22 pelumba Grand Prix Formula One Malaysia Petronas 2014 bertafakur selama seminit sebagai penghormatan kepada 239 penumpang dan anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
Pasukan Formula One turut menampalkan pelekat #remembering MH370, #prayforMH370 dan #doauntukMH370 di topi keledar masing-masing.
Penonton yang hadir juga turut bertafakur serta bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku.
#F1
#Formula Satu
#Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia 2014
#Lewis Hamilton
#Nico Rosberg
#Sepang