Forestieri sah tinggalkan JDT

Bernama
Januari 7, 2024 18:54 MYT
Penyerang kelahiran Argentina Fernando Forestieri sah meninggalkan juara Liga Super 10 kali berturut-turut Johor Darul Ta'zim (JDT). - Foto Facebook
KUALA LUMPUR: Penyerang kelahiran Argentina Fernando Forestieri sah meninggalkan juara Liga Super 10 kali berturut-turut Johor Darul Ta'zim (JDT).
Perkara tersebut dikongsi JDT hari ini menerusi laman Facebook JOHOR Southern Tigers, sambil mengucapkan terima kasih di atas khidmat pemain berusia 33 tahun itu sejak menyertai gergasi bola sepak negara pada permulaan musim 2022.
"Selamat maju jaya, Forestieri," menurut hantaran tersebut.
Forestieri merupakan sebahagian daripada skuad Harimau Selatan yang mencipta sejarah memenangi 'double quadruple' pada 2022 dan 2023.
Beliau telah meledak 47 gol dan 21 bantuan jaringan sepanjang 69 penampilan bersama JDT.
Bekas pemain bawah 21 tahun Itali berkenaan, sebelum ini pernah menyertai beberapa kelab di Eropah antaranya Malaga, Watford dan Udinese.
-- BERNAMA
#Forestieri #JDT #Johor Darul Ta'zim #Johor Southern Tigers
;