Floyd Mayweather vs Logan Paul: Tiada KO, tiada pemenang, tetapi bawa pulang RM200 juta
Haider Yutim
Jun 7, 2021 14:04 MYT
Jun 7, 2021 14:04 MYT
PERTARUNGAN pertunjukan di antara bintang tinju Floyd Mayweather Jr dan YouTuber sensasi Logan Paul berakhir dengan tiada pemenang.
Acara tinju yang berlangsung di Miami, Florida ramai itu menyaksikan kedua-dua petinju bertarung sehingga ke pusingan terakhir.
Meskipun Mayweather jauh lebih berpengalaman, namun Paul berjaya bertahan untuk kesemua lapan pusingan tersebut.
Perlawanan bermula agresif dengan Paul dilihat lebih banyak melakukan tumbukan pada awal pusingan.
Bagaimanapun, kelicikan Mayweather berjaya menampan dan mengelak hampir semua serangan yang dilakukan oleh Paul.
Paul juga dilihat sering menggunakan kelebihan berat badannya, dengan melakukan ‘clinch’ serta menghimpit Mayweather bagi menghalang lawannya itu menyerang.
Namun, Mayweather hanya seolah-olah membiarkan Paul menghabiskan tenaganya.
Seperti diduga, setelah memasuki pusingan ketiga dan seterusnya, Mayweather pula banyak melakukan asakan sehingga Paul kelihatan hendak rebah.
Pada pusingan ketujuh, Paul membalas asakan tetapi tumbukannya seperti sia-sia dan tidak mendatangkan banyak kesan ke atas Mayweather.
Hanya tinggal satu pusingan, Mayweather seolah-olah ingin mencari ‘knock-out’ tetapi dihalang oleh ‘taktik’ Paul yang gemar menggunakan berat badannya.
Perlawanan disudahi tanpa ‘KO’, dan disebabkan tiada juri maka pertarungan berakhir dengan tiada pemenang.
Sungguhpun begitu, Mayweather dilaporkan menerima bayaran sebanyak AS$50 juta (RM206 juta), sementara Paul pula menerima bayaran AS$10 juta (RM41.2 juta).
Selain itu, mereka juga menerima 50 peratus daripada keuntungan ‘pay-per-view’ atau tontonan berbayar untuk perlawanan tersebut.
Sementara itu, Mayweather, 44, ketika ditemu bual selepas perlawanan, menyifatkan Paul, 26, sebagai seorang petinju yang agak handal.
“Saya berasa seronok. Saya bukan lagi 21 tahun. Pertarungan dengan orang-orang muda ini bagus kerana saya dapat uji skil, dapat berseronok.
“(Rupanya) dia lebih handal dari yang saya jangkakan,” katanya.
Bagi Paul pula, katanya ia satu penghormatan untuk bertarung dengan atlet hebat seperti Mayweather.
“Berdirinya saya di sini dengan salah seorang petinju terhebat sepanjang masa, membuktikan siapa sahaja boleh melakukan apa sahaja.
"Floyd Mayweather, ini suatu penghormatan - ini adalah salah satu momen terhebat dalam hidup saya. Dan saya gembira saya berjaya (bertahan),” kata personaliti media sosial dari Amerika Syarikat itu.
Mayweather yang juga dari Amerika Syarikat merupakan bekas juara dunia tinju untuk lima kategori berat.
Pada Ogos 2017 lalu, dia pernah keluar dari persaraan untuk menewaskan bintang UFC Conor Mcgregor menerusi keputusan TKO pada pusingan ke-10.
Pertembungan di T-Mobile Arena, Las Vegas itu melebarkan rekod kemenangannya kepada 50-0.