Fitri Saari makin hampir perkuat skuad hoki negara
Astro Arena
Mac 23, 2023 23:46 MYT
Mac 23, 2023 23:46 MYT
Selepas tiga tahun tidak memperkuat skuad hoki negara, perancang tengah, Fitri Saari tampak semakin menghampiri kembali berada dalam perancangan Arul Selvaraj susulan melepasi ujian kecergasan yang dikendalikan barisan kejurulatihan negara selama dua hari.
Fitri yang memiliki penggalaman luas di peringkat antarabangsa kekal optimis khidmatnya mampu menyuntik nilai tambah dalam kekuatan keseluruhan The Speedy Tigers apatah lagi kecederaan yang melanda tonggak utama ketika ini.
"Saya yakin mampu menyesuaikan diri dengan taktikal yang digunakan oleh jurulatih Arul," kata Fitri.
"Tahap kecergasan mungkin tidak menjadi masalah selepas mengharungi sepanjang musim dan masih lagi menjalani latihan."
Sementara itu, kapten dan nadi kejayaan Terengganu Hockey Team (THT) menjulang kejuaraan treble Liga Hoki Malaysia musim ini, berasakan corak permainan Arul Selvaraj dan dirinya mempunyai keserasian tersendiri sekali gus membuktikan dirinya masih relevan di peringkat antarabangsa.
"Saya yakin dan berharap untuk nama saya tersenarai dalam skuad kebangsaan bagi saingan antarabangsa untuk aksi akan datang."