#FitMalaysia ke arah membudayakan sukan, pelapis atlet dan rakyat lebih sihat

Astro Awani
September 5, 2014 17:24 MYT
KUALA LUMPUR: Program #FitMalaysia adalah sebuah aktiviti gerakan massa yang bakal menjadikan negara sebagai sebuah negara yang membudayakan sukan setanding dengan negara-negara seperti Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.
Selain itu, misi #FitMalaysia juga adalah dalam menyediakan pelapis atlet sukan negara pada masa hadapan.
Demikian terang Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika kunjungannya ke Astro AWANI dalam mempromosikan #FitMalaysia.
“Kita bukan negara sukan, kita negara peminat sukan, penggemar sukan, penonton acara sukan.
Dalam masa yang sama, kita bising mengapa prestasi sukan Malaysia merundum. Ini adalah kerana tidak ramai yang membudayakan sukan dalam kehidupan, pelapis pun kurang,” jelas Khairy.
Katanya, jika ramai yang bersukan dan menjadikan aktiviti senaman sebagai aktiviti wajib seharian, sudah tentu begitu ramai atlit yang bakal dilahirkan dalam menggantikan jaguh-jaguh sukan negara yang sedia ada seperti Datuk Nicol David, Lee Chong Wei, Pandelela Rinong dan ramai lagi.
#FitMalaysia juga diadakan dengan fokus menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat dan cergas.
“Bila rakyat lebih cergas, badan akan lebih sihat. Lebih-lebih lagi Malaysia sekarang mendahului carta teratas dalam penyakit obesiti dan kencing manis,” tambahnya.
#FitMalaysia dilihat juga sebagai satu aktiviti yang bakal menyatukan rakyat dari pelbagai komuniti.
“Sukan bukan untuk orang muda malah orang tua serta Orang Kelainan Upaya (OKU) pun kena bersukan. Apabila kita bersukan, kita tidak akan kira bangsa dan perbezaan agama, kerana apa yang penting bersukan” kata Khairy lagi.
#FitMalaysia akan menyediakan aktiviti seperti larian, berbasikal, zumba dan kombat.
Ia akan diadakan pada 7 September ini di Dataran Merdeka dan mereka yang mahu menyertainya boleh hadir dengan pakaian sukan yang lengkap, kata Khairy lagi.
IKUTI TEMUBUAL PENUH BERSAMA KHAIRY JAMALUDDIN DI SINI
##FitMalaysia #Menteri Belia & Sukan #Khairy Jamaluddin #Nicol David
;