Final Piala Malaysia: Tunggu keputusan MFL

Sinar Harian
Disember 5, 2023 19:30 MYT
TMJ beberapa hari lalu memuat naik gambar keadaan terkini Stadium Nasional yang dalam proses baik pulih selepas rosak angkara konsert Cold Play baru-baru ini. - Gambar/ IG @hrhcrownprinceofjohor
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) akan membuat keputusan sama ada akan menukar vanue lain atau terus kekal menggunakan Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk aksi final Piala Malaysia Jumaat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, badan pentadbir liga itu akan melihat terlebih dahulu keadaan padang stadium tersebut.
“Kita akan mengadakan pemeriksaan terlebih dahulu terhadap padang Stadium Nasional dan akan memaklumkan tindakan lanjut kemudian," katanya.
Pada Isnin, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar keadaan terkini Stadium Nasional yang dalam proses baik pulih selepas rosak angkara konsert Cold Play baru-baru ini.
Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada padang tersebut boleh bersedia sepenuhnya digunakan untuk aksi JDT bertemu Terengganu FC kerana masih rosak di beberapa bahagian padang.
Berbaki tiga hari sebelum aksi final itu, ramai berpendapat rumput di stadium tersebut tidak akan bersedia 100 peratus dan pada masa sama amat mustahil untuk menukar venue perlawanan.
Setakat ini, pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan susulan keadaan terkini padang Stadium Nasional itu. - Sinar Harian
#padang rosak #Stadium Nasional Bukit Jalil #konset coldplay #final piala malaysia
;