Final Piala Malaysia: Pemain JDT, TFC boleh saman PSM

Sinar Harian
Disember 11, 2023 07:45 MYT
Ubaidullah antara pemain yang dilaporkan mengalami kecederaan akibat permukaan padang rosak semasa perlawanan akhir Piala Malaysia, JDT menentang TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Facebook JOHOR Southern Tigers
PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) yang mengalami kecederaan akibat permukaan padang rosak pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil Jumaat lalu, mungkin boleh mengambil tindakan saman atau menuntut ganti rugi kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, PSM selaku pihak menyewakan stadium untuk kegunaan final bertanggungjawab untuk memastikan keadaan padang berada dalam keadaan baik dan mengikut piawaian ditetapkan.
“Saya bukan pakar undang-undang, saya belajar sedikit asas undang-undang yang masih saya ingat. Setahu saya memang tiada undang-undang khusus untuk sukan, tetapi semua undang-undang sama ada undang-undang sivil atau jenayah terpakai dalam sukan.
“Pendekatan ini juga sejajar atau selari dengan Kod Sukan Selamat yang dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tahun ini.
“Saya masih ingat dengan beberapa kes kecederaan dalam sukan sewaktu belajar dulu berkaitan (Law of Entrants) adalah menjadi tanggungjawab pemilik atau penganjur untuk memastikan persekitaran selamat kepada pelawat atau penyewa atau penggunanya.
“Kegagalan atau kecuaian pemiliknya atau penganjur mengambil langkah-langkah yang sepatutnya hingga berlakunya kecederaan dan lain-lain, tuntutan saman dan ganti rugi boleh dikenakan kepada pemiliknya atau penganjur acara itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Sebelum ini, padang Stadium Nasional menjadi tumpuan selepas rosak teruk akibat digunakan untuk persembahan kumpulan Coldplay pada 22 November lalu.
Ia sekali gus memberikan kesan kepada aksi final Piala Malaysia antara JDT dan TFC selepas padang tersebut tidak dapat dibaiki pada sehingga tarikh perlawanan itu.
Beberapa pemain dilaporkan mengalami kecederaan akibat keadaan padang itu antaranya dua pemain JDT, Corbin Ong dan Shane Lowry serta pertahanan TFC, Ubaidullah Shamsul.
Pekan yang juga Timbalan Setiausaha Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut memberikan contoh insiden yang berlaku di United Kingdom membabitkan seorang atlet gimnastik yang menang tuntutan saman.
“Saya merujuk satu kes yang popular dalam hal yang berkaitan iaitu kes Gilmore vs London County Council yang didapati bersalah disebabkan plaintif terjatuh dan cedera ketika satu sesi senamrobik akibat lantai yang licin.
“Defendan didapati bersalah kerana gagal memastikan premis itu selamat untuk aktiviti fizikal tersebut,” katanya.
Justeru, beliau mengharapkan pemain dapat mengetahui atau memahami hak sebagai seorang atlet dalam sukan.
“Rujuk kembali pada 2013 ketika bintang Barcelona, Lionel Messi enggan turun bermain disebabkan kondisi padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang teruk ketika aksi perlawanan pertunjukan Harimau Malaya menentang kelab La Liga tersebut.
“Walaupun perlawanan dipindahkan ke Stadium Shah Alam, Messi tetap menolak untuk beraksi pada perlawanan itu, jadi betapa pemain antarabangsa sangat-sangat mengutamakan aspek keselamatan ini.
“Itu sedikit gambaran dari saya, mungkin atlet-atlet yang tercedera atau menjadi mangsa akibat kecuaian pemilik atau penganjur premis sebegitu, mungkin boleh semak atau periksa hak anda.
“Mana tahu anda boleh mengambil tindakan undang-undang dan berhak mendapat pembelaan. Pada masa yang sama ia bagi memastikan semua pihak lebih bertanggungjawab dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya. - Sinar Harian
#final piala malaysia #JDT #Terengganu FC #saman Perbadanan Stadium Malaysia
;