Final Piala Malaysia: Padang kurang cantik, tapi tak terkopak
Sinar Harian
Disember 8, 2023 07:40 MYT
Disember 8, 2023 07:40 MYT
PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) mungkin boleh menarik sedikit nafas lega apabila keadaan padang tidak terkopak atau tercabut sepanjang aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) malam ini.
Walaupun padang kelihatan agak menyakitkan mata kerana tidak sempurna di bahagian tengah dan belakang padang, namun ia tidak terlalu mencacatkan corak permainan kedua-dua pasukan.
Malah, keadaan hujan lebat yang turun sebelum perlawanan juga tidak menukar padang menjadi 'bendang' membuktikan sistem saliran berfungsi dengan baik.
Sebelum ini, PSM teruk dikritik apabila keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil rosak teruk selepas berlangsungnya konsert kumpulan Coldplay pada 22 November lalu.
PSM juga memberikan jaminan bahawa padang tersebut akan dapat dibaiki sebelum perlawanan akhir tersebut, namun sebaliknya berlaku.
PSM turut memohon maaf pada Khamis selepas keadaan padang itu tidak memuaskan selain mengakui tidak mempunyai masa yang cukup untuk membaiki padang ke tahap optimum selepas konsert tersebut berlangsung.
Perlawanan akhir tersebut berakhir dengan JDT muncul juara menewaskan TFC 3-1. - Sinar Harian