Final Piala Malaysia: Kedah pasukan 'favourite', Selangor kini 'underdog'
Shaukei Kahar
Oktober 30, 2016 08:19 MYT
Oktober 30, 2016 08:19 MYT
FINAL Piala Malaysia edisi ke-50 hari ini harus menampilkan tanggapan yang sama-sekali berbeza – Kedah selaku pasukan ‘favourite’ sambil Selangor akan menggalas label ‘underdog’.
Hanya 12 bulan lalu, kedudukannya adalah berlawanan.
Selangor, di bawah bimbingan Mehmet Durakovic, menepati label sebagai ‘pasukan pilihan’ untuk menterjemahkannya sebagai pasukan bergelar juara dengan menundukkan Kedah 2-0 hasil jaringan awal pada setiap separuh masa.
Jika seminggu dalam kancah politik adalah satu tempoh yang panjang, 12 bulan dalam arena sukan turut menampilkan pelbagai perubahan.
Barangkali kedua-dua pasukan saling tidak menyukai label terbaru masing-masing kini, apatah lagi Selangor dengan sejarah gemilang kejuaraan terbanyaknya dalam kempen ini sambil Kedah lebih gemar tampil sebagai pasukan berstatus pencabar.
Namun, liku-liku berbeza buat skuad Merah-Kuning mahupun skuad Hijau-Kuning, baik dalam Liga Super, Piala FA mahupun laluan ke final Piala Malaysia kali ini, mencadangkan Kedah yang lebih wajar diangkat sebagai pasukan ‘favourite’ pada ketika tidak ramai yang menaruh harapan buat Selangor mengulangi kemaraan ke final.
Apakah yang berbeza daripada final tahun lalu?
Ia harus dimulai dengan Selangor kehilangan sentuhan magis Durakovic – yang menukar sekumpulan pemain biasa tanpa nama-nama besar menjadi barisan serba penakluk dalam Piala Malaysia – hanya untuk khidmatnya tidak dilanjutkan apabila musim berakhir.
Di tempatnya, tampil Zainal Abidin Hassan yang hanya mampu bertahan selama enam bulan apabila kepemimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tunduk kepada desakan penyokong dan kehambaran keputusan, untuk dia dipecat. Kini semuanya disandarkan ke bahu K. Gunalan yang masih mempunyai banyak untuk dibuktikan.
Di sebelah Kedah pula, kelebihan memihak mereka. Dinafikan tunjuk-ajar Tan Cheng Hoe mulai suku akhir Piala Malaysia musim lalu gara-gara perguruannya di China, Hijau-Kuning mendapat sentuhannya sepanjang musim ini.
Di sebalik Cheng Hoe mendapat tekanan penyokong untuk berundur menuju peringkat pertengahan musim ini, ‘Mr Nice Guy’ bola sepak Malaysia ini menyerlahkan kecekalan untuk mengemudi kemaraan Kedah sejauh ini dan harus bertepatan untuk ia berkesudahan dengan bergelar juara.
Sebagai sokongan kepada Liridon Krasniqi yang gagal menyerlah dalam final tahun lalu, Kedah kini memiliki bekas pemain Piala Dunia New Zealand, Shane Smeltz, dan Thiago Augusto -- di tempat Carlos Kahe dan Sandro da Silva ketika jendela perpindahan lalu – dan Lang Merah semakin mantap sejak itu.
Sebaliknya, Guilherme de Paula tiada lagi untuk mencatur gerakan Selangor, yang memilih untuk menagih sentuhan Patrick Ronaldinho Wleh dan Mauro Olivi yang menjadi tajuk utama hanya atas sebab-sebab berlawanan.
Persoalan besar yang menyelubungi kem Selangor ialah sejauh mana keharmonian dalam pasukan sejak pemecatan Zainal, meninggalkan Razman Roslan, Khairul Azhan Khalid, Hafiz Kamal dan R. Gopinathan yang menyusuli jurulatih itu dari Pahang, dalam keadaan terkapai-kapai.
Lebih daripada semua itu, keputusan dalam pelbagai perlawanan mendatangkan perbandingan ketara. Skuad Merah-Kuning bergelut dalam saingan liga (tangga kelima), ditunjukkan jalan keluar lebih awal dalam kempen Piala FA dan Piala AFC sehinggalah Piala Malaysia menjadi talian hayat buat mereka memburu satu-satunya trofi yang tinggal.
Kedah, sebaliknya, tampil pasukan ketiga terbaik pada musim pertama mereka kembali ke Liga Super di samping mara sejauh separuh akhir Piala FA dengan kekalahan kepada pasukan yang kemudiannya muncul juara, JDT.
Mengambil kira semua perbandingan itu, sewajarnyalah Kedah diangkat sebagai ‘favourite’ dengan dendam kekalahan musim lalu, menjadi motivasi tambahan buat mereka menjulang piala simbol keagungan bola sepak Malaysia malam nanti.
LALUAN KE PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 2016:
KEDAH SELANGOR
Peringkat kumpulan Peringkat kumpulan
13 Julai Kedah 4 Sarawak 3 12 Julai Selangor 1 K Lumpur 0
20 Julai T-Team 0 Kedah 2 20 Julai Selangor 3 Kelantan 3
29 Julai Kedah 0 JDT II 0 30 Julai Pahang 1 Selangor 0
9 Ogos JDT II 2 Kedah 3 9 Ogos Selangor 3 Pahang 0
13 Ogos Kedah 0 T-Team 1 12 Ogos Kelantan 1 Selangor 4
19 Ogos Sarawak 0 Kedah 3 20 Ogos K Lumpur 1 Selangor 1
Suku Akhir Suku Akhir
28 Ogos N Sembilan 0 Kedah 0 28 Ogos PKNS 3 Selangor 4
17 Sept Kedah 5 N Sembilan 0 17 Sept Selangor 1 PKNS 0
Separuh Akhir Separuh Akhir
30 Sept Kedah 2 PDRM 1 1 Okt Selangor 2 T-Team 1
15 Okt PDRM 0 Kedah 0 15 Okt T-Team 0 Selangor 3
*Shaukei Kahar merupakan pengulas sukan ternama tanah air dan juga penulis buat Astro Arena.
**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.