Final Piala Malaysia 2015: Apa kata peminat?
Nizam Bakeri
Disember 12, 2015 15:31 MYT
Disember 12, 2015 15:31 MYT
Tahun 2008 menyaksikan peminat pasukan Selangor dan Kedah menghimpunkan sokongan padu masing-masing. Sorakan di stadium dan di depan skrin televisyen bersatu. Gol ketiga Kedah pada minit ke-38 hasil kesilapan pertahanan Selangor ketika itu nyata mencukupi buat Kedah menjulang gelaran Piala Malaysia kelima.
Tujuh tahun kemudian, mereka kembali bertemu di Stadium Shah Alam. Barisan pemain kendalian Mehmet Durakovic dan Tan Teong Hoe kembali menuntut sokongan utuh para peminat.
Hashtag #PialaMalaysia2015 di Facebook meriah dengan ucapan dan harapan para peminat untuk pasukan masing-masing.
Kemeriahan yang sama turut sama dikongsi di Twitter.
Jangkaan peminat
Shahrul Naim Amin, 29, berharap agar Selangor berjaya memenuhi Misi 33 malam ini. Beliau percaya bahawa Selangor perlu mengekang pergerakan gandingan import Kedah, Chiti Edeh dan Sandro da Silva jika tidak mahu tumbang.
“Cari gol awal dan kuatkan pertahanan. Saya juga ada harapan tinggi pada Norazlan Razali yang dah jaga gawang gol dengan baik (sewaktu) suku akhir dan separuh akhir,” tambah Shahrul.
Anas Shafie, 23, yang juga penyokong Selangor menjangkakan permainan terbuka malam ini dan berharap Durakovic mengerah bahagian tengah untuk serangan bertubi-tubi tanpa perlu terlalu bergantung kepada Andik Vermansyah namun turut menagih persembahan Nazmi Faiz dan Leandro Dos Santos.
Saadon Kulup, 36, pula sudah berpuas hati dengan pencapaian Kedah mara ke peringkat akhir yang tidak dijangka memandangkan pasukan negeri jelapang padi itu bergelut dengan masalah dalaman dan sudah lama beraksi dalam Liga Perdana.
“Tak sangka pula Kedah dapat kekalkan momentum (pasukan) dalam Piala Malaysia yang kita tahu lebih kompetitif sebab jadual padat dan tahap pasukan yang lebih tinggi. Andai kata kalah sekali pun, saya tak rasa peminat kecewa,” ujar Saadon.
Saifulzamir, 27, seorang lagi penyokong Kedah berkongsi pendapat dengan Shahrul bahawa gol awal akan menentukan keputusan perlawanan. Pemain Kedah menurutnya perlu memberi tekanan kepada pertahanan Selangor yang telah beraksi cemerlang sepanjang kempen Piala Malaysia tahun ini.
Perlawanan akhir ini juga menarik perhatian penyokong neutral. Sadiq Yusof, 24, penyokong tegar Johor Darul Ta’zim (JDT) berpendapat perlawanan akhir ini akan ditentukan melalui kemampuan Selangor mengatur serangan balas selepas diasak Kedah.
“Bagi saya, Durakovic ada taktik seperti (Jose) Mourinho. Bertahan dan kemudian menyerang dengan pemain sayap seperti Andik Vermansyah dan Hazwan Bakri untuk mengganggu rentak pertahanan lawan.”
Perlawanan akhir malam ini merupakan Piala Malaysia edisi ke-89 sejak Singapura memenangi edisi pertama pada tahun 1921.