Final Piala Malaysia 2014 menang Siaran Langsung Sukan Terbaik ATA 2015

Astro Arena
Disember 3, 2015 15:36 MYT
Astro Arena dinobat selaku penerima Anugerah Liputan Siaran Langsung Sukan Terbaik di Anugerah Televisyen Asia di Singapura pada Rabu.
Umum mengetahui Astro Arena bukan lagi penyiar rasmi Liga Malaysia ketika ini, namun masih ada bingkisan manis buat Astro Arena menerusi anugerah yang diterima di peringkat Asia bagi penganjuran yang sudah memasuki edisi ke-20 ini.
"Liputan perlawanan terakhir Liga Malaysia bersama Astro Arena paling manis," itu reaksi penerbit final Piala Malaysia 2014, Yusoff Ismail selepas Astro Arena dinobat selaku penerima Anugerah Liputan Siaran Langsung Sukan Terbaik dalam Anugerah Televisyen Asia di Singapura pada Rabu.
Liputan aksi final Piala Malaysia 2014 membabitkan Johor Darul Takzim (JDT) dan Pahang nyata berjaya mengatasi 6 pencalonan lain, selain turut cipta sejarah menjadi pemenang pertama bagi kategori ini setelah dipertandingkan buat pertama kali.
Kemenangan ini turut menafikan satu lagi pencalonan dari Astro Arena iaitu final Istaf Super Siri Malaysia 2015 yang berada di kedudukan kedua dalam kategori yang sama.
"Ya, kita sebenarnya mencipta sejarah, menjadi stesen TV yang pertama menerima anugerah ini. Saya harapkan ini memberi semangat dan motivasi kepada kami semua untuk bekerja dengan lebih ikhlas, lebih bersungguh-sunggu lagi," kata Yusoff Ismail.
Masih terbayang kegagalan bekas penyerang JDT Norshahrul Idlan Talaha menyempurnakan sepakan penalti buat JDT selain pemain tengah pahang Hafiz Kamal muncul wira di atas kemenangan Pahang pada ketika itu.
"Kita telah membuktikan bahawa Astro Arena sebenarnya mempunyai peranan dalam peningkatan bola sepak Malaysia. Saya sebenarnya masih berharap lagi, terus diberikan peluang untuk mengangkat bola sepak Malaysia," tambahnya.
Antara siaran lain yang tercalon adalah Roland-Garros 2015, One Championship: Warrior's Quest serta Formula Satu Monacco.
#Astro Arena #ATA 2015 #final #Piala Malaysia 2014
;