Final Piala FA: Tiada yang mustahil, Zainal Abidin Hassan ramal kejutan di SNBJ
Astro Arena
Ogos 23, 2024 17:17 MYT
Ogos 23, 2024 17:17 MYT
LEGENDA bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan, berasakan tiada yang mustahil mampu dilakar Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pentas akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Dalam satu temu bual bersama segmen 3 Pagi Era, dia beranggapan kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri untuk merangkul trofi sekali gus bergelar juara.
Untuk rekod, dia juga pernah mempunyai rekod baik ketika membawa Pahang merangkul trofi Piala FA menewaskan JDT pada tahun 2014 menerusi penentuan sepakan penalti di SNBJ.
"Sebagai seorang yang berpenggalaman, di atas kertas memang kita dapat lihat kelebihan pada JDT, itu saya tidak dapat nafikan dengan pemain-pemain yang mereka ada.
"Tapi dalam final kadang kala tikus juga kalahkan gajah, kerana ia atas pemain kerana itulah ia dipanggil pentas akhir.
"Bila final kita tidak tahu semangat apa yang keluar. Saya pernah lalui dalam aksi final sebelum ini dimana atas kertas berpihak pada JDT, tetapi pemain saya haritu angin apa saya tidak tahu jadi mereka menang. Saya pernah merasai," katanya.
* Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com