Final Piala FA: "Saya tak gembira dengan keputusan ini" - Nidzam
Astro Awani
Ogos 24, 2024 07:00 MYT
Ogos 24, 2024 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui tidak gembira dengan kekalahan pasukan bimbingannya 1-6 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Menurut Nidzam, keputusan itu agak mengecewakan, namun, mereka perlu menghadapinya dan dalam masa sama membetulkan segala kelemahan yang ada.
"Tahniah untuk JDT. Ini refleks untuk kita nak betulkan banyak perkara. Keputusan ini sedikit sebanyak menonjolkan bagaimana kita perlu perbaiki untuk bersaing berada di tempat terbaik.
"(Keputusan) 6-1 sudah tentu kita tak gembira dan mengecewakan kita. Tetapi, kita kena lalui perkara ini dengan baik," kata Nidzam dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Pada Sabtu, Selangor terpaksa akur dengan kualiti dimiliki JDT selepas tewas 1-6 dalam aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
Tiga gol JDT dijaringkan oleh Juan Muniz pada minit ke-26, 27 dan 89, Arif Aiman Hanapi (m-42) dan Bergson Da Silva (62) dan Heberty Fernandes (76) manakala gol Gergasi Merah dijaringkan oleh Alvin Fortes (59).