Final Piala FA: Perkhidmatan LRT di Stesen Bukit Jalil dilanjut - Rapid KL

Fareez Azman
September 8, 2022 17:20 MYT
Rapid KL memaklumkan tren tambahan juga akan disediakan bagi membawa penumpang sejurus perlawanan tamat. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengendali perkhidmatan rel Rapid KL, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan melanjutkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen LRT Bukit Jalil sehingga 1 pagi pada 10 September ini.
Lanjutan tempoh operasi itu bagi memudahkan pengguna menggunakan perkhidmatan tersebut sempena perlawanan akhir Piala FA 2022.
"Penyokong atau penumpang diminta menggunakan kad Touch & Go (TnG) bagi memudahkan perjalanan khususnya ketika selesai perlawanan.
"Pastikan baki kad TnG mencukupi. Penyokong digalakkan untuk memarkir kenderaan anda fasiliti Park & Ride yang tersedia di stesen-stesen LRT dan MRT," menurut kenyataan media dikeluarkan pada Khamis.
Tambah Rapid KL, tren tambahan juga akan disediakan bagi membawa penumpang sejurus perlawanan tamat.
Dalam aksi final Piala FA 2022, Terengganu FC (TFC) bakal berdepan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kira-kira 78,000 tiket perlawanan akhir dijual dengan kuota setiap pasukan masing-masing 39,000 tiket.
#Final Piala FA 2022 #Terengganu FC #JDT #bola sepak #Rapid KL
;