Final Piala FA: JDT bersedia meskipun kehilangan tonggak utama
Syamil Izwan Azizan
Jun 27, 2013 07:45 MYT
Jun 27, 2013 07:45 MYT
Biarpun ketiadaan beberapa tonggak akibat kecederaan dan penggantungan, skuad Johor Darul Takzim (DT) yakin mampu memberi saingan hebat kepada Kelantan menjelang aksi perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini.
Jelas ketua jurulatih, Fandi Ahmad, kesebelasan utama yang bakal diturunkannya nanti tetap punyai keserasian.
Antara tonggak yang tidak dapat beraksi adalah pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang menjalani penggantungan.
"Kita amat kesal dengan ketiadaan Aidil tetapi kita ada banyak lagi pemain yang diharapkan dapat menggantikan tempatnya di bahagian pertahanan.", ujar Fandi selepas sesi latihan Johor DT pada Khamis.
Menurut bekas pemain kebangsaan Singapura ini lagi, pengalaman mungkin memihak Kelantan yang beberapa kali mara ke perlawanan akhir kejohanan utama di negara ini.
"Lawan (Kelantan) mungkin mempunyai pengalaman bermain di pertandingan akhir, kami mungkin tidak tapi dengan kesungguhan, sokongan moral, kerjasama, bagi saya teamwork sangat penting. Ada kesempatan kami harus cipta jaringan, kami selalu mensia-siakan peluang dan harus lebih disiplin serta agresif di bahagian pertahanan."
Namun jika diukur pada prestasi dalam saingan Liga Super ketika ini, Johor DT mengalami kemerosotan susulan dua keputusan seri, masing-masing menentang Lions XII dan Felda United.
Sementara itu, kapten Johor DT, Kamarul Afiq Kamaruddin pula bersedia dengan mana-mana pemain yang bakal menggantikan Aidil di bahagian pertahanan.
"Saya akan berikan yang terbaik, begitu juga dengan gandingan yang akan menggantikan tempat Aidil yang digantung dan saya harap dapat memberikan persefahaman yang baik dalam permainan untuk berdepan dengan Kelantan."
Johor DT mara ke perlawanan akhir Piala FA buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun.
Malah pada tahun 1998 itu juga kali terakhir pasukan dari Selatan ini bergelar juara selepas menewaskan Sabah.