Final Piala Dunia: Perancis bakal berdepan detik sukar - Hugo Lloris

Bernama
Disember 15, 2022 12:53 MYT
Hugo Lloris menjangkakan pasukannya akan berdepan detik sukar ketika menentang Argentina pada final Piala Dunia 2022. - Stadium Astro
DOHA: Penjaga gol dan kapten Perancis Hugo Lloris menjangkakan pasukannya akan berdepan detik sukar ketika menentang Argentina pada final Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung Ahad ini.
Tatkala Lionel Messi sedang mengintai peluang untuk menjulang Piala Dunia pertamanya, Perancis pula dalam usaha memastikan gelaran juara dunia tidak terlepas daripada gengaman, selepas muncul juara kejohanan itu pada edisi 2018.
"Argentina pasukan yang sangat hebat. Pasukan itu telah menunjukkan betapa kompetitifnya mereka, dan mereka mempunyai pemain (Messi) yang ternyata memiliki kehebatan yang sukar ditandingi di arena bola sepak.
"...kami akan cuba mengubah keadaan," kata Lloris selepas kemenangan 2-0 ke atas Maghribi di perlawanan separuh akhir pada Rabu, lapor Xinhua.
Sementara itu, pemain tengah Youssouf Fofana mengakui "bukan mudah" untuk menggantikan Adrien Rabiot yang tidak dapat beraksi selepas dijangkiti virus.
"Dia hebat sejak awal Piala Dunia berlangsung dan sukar untuk mencapai tahapnya tetapi pasukan banyak membantu saya dan setakat ini ia berjalan lancar," kata Fofana.
-- BERNAMA
#Piala Dunia #Perancis #Hugo Lloris #Argentina
;