Final Piala AFC: Pertukaran venue demi prestij kejohanan - AFC

Astro Arena
Oktober 13, 2022 04:51 MYT
WINDSOR: Ini perlawanan akhir jadi kami tidak mahu ada sebarang kontoversi menjadi tumpuan berbanding persembahan kedua-dua pasukan. - Foto Astro ARENA
SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, menegaskan perubahan venue final Piala AFC ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) adalah demi prestij kejohanan itu, termasuk penggunaan video bantuan pengadil (VAR).
Perkembangan itu juga menyaksikan VAR akan digunakan buat kali pertama di Malaysia bagi mengelakkan sebarang keputusan kontroversi menjelang pertemuan Kuala Lumpur City FC dengan kelab kelab Oman, Al Seeb pada 22 Oktober ini.
Ia merupakan syarat utama yang diberikan AFC buat tuan rumah, KL City, selain sistem pencahayaan yang perlu mencapai tahap 1800 lux.
Situasi itu menyaksikan aksi final berkenaan terpaksa dipindahkan dari Stadium KLFA, Cheras ke SNBJ bagi menepati piawaian berkenaan.
Jelas Windsor, pemilihan venue itu bukanlah keputusan daripada pihak AFC, sebaliknya ia diputuskan oleh KL City.
"Ini perlawanan akhir jadi kami tidak mahu ada sebarang kontoversi menjadi tumpuan berbanding persembahan kedua-dua pasukan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Perlawanan akhir merupakan perlawanan yang penting untuk mencari juara, jadi kami rasa kami boleh memaksa tuan rumah untuk menyediakan kemudahan.
"Ia lebih mudah untuk satu perlawanan akhir berbanding setiap perlawanan di peringkat kelab dalam Piala AFC.
"Bukan semua stadium pasukan yang bersaing dalam Piala AFC ini mempunyai kemudahan untuk menggunakan VAR.
"Jadi, apa yang berlaku, kelab tidak dapat bermain di tempat sendiri, yang pasti tidak diingini kelab masing-masing," katanya.
#VAR #Kuala Lumpur City FC #pertukaran venue final Piala AFC #Windsor John
;