Final Jelajah Dunia: Aaron-Wooi Yik berputih mata terlepas slot
Astro Arena
November 27, 2021 06:15 MYT
November 27, 2021 06:15 MYT
AARON Chia tidak berselindung dengan kehampaannya bersama Soh Wooi Yik apabila gagal ke Pusingan Akhir Jelajah Dunia di Bali yang bermula Rabu depan.
Hanya lapan beregu terbaik ranking Jelajah Dunia akan tersenarai, secara tidak langsung menutup hajat wakil negara itu yang menghuni tangga kesembilan dunia.
"Macam biasa kita dengar, prestasi kami tidak tekal.
"Kami masuk ke separuh akhir Master Indonesia tapi kalah dalam pusingan kedua Terbuka Indonesia.
"Letih bukan satu alasan kerana semua pemain main kejohanan-kejohanan yang sama.
"Cuma kami datang ke Indonesia tanpa tukang urut selama sebulan ini. Ia menjejaskan pemulihan badan kami," katanya di Nadi Weekend malam tadi.
Pemenang pingat gangsa sukan Olimpik Tokyo itu mengakui tekanan semakin meningkat apabila mereka tidak menyertai Terbuka Hylo di Jerman yang menyebabkan mereka tercicir mata penting.
"Memang sedih, rasa tidak puas hati. Kami patut main di Jerman dan kalau kami menyertainya, peluang kami untuk layak lebih cerah.
"BAM tidak letak nama kami, kami tidak pasti atas alasan apa.
"Pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, beritahu bahawa peraturan BAM tidak membenarkan kami menyertai empat kejohanan berturut-turut.
"Jadi kami tahu peluang ke Jelajah Dunia menjadi agak susah tapi masih mampu untuk layak. Kami kena beraksi dengan lebih bagus, mungkin mara ke suku akhir ke atas.
"Tapi jurang kelayakan kami dengan pasukan di tangga ketujuh dan lapan dunia tidak jauh, hanya beberapa ratus.
"Tidak perlu untuk menang di Jerman, tapi dari situ kami mungkin boleh mengutip beberapa 2000-3000 mata untuk tingkatkan peluang kami ke Final Jelajah Dunia. Ia menambah tekanan buat kami," katanya di Nadi Weekend malam tadi.
Mereka akan terus berkampung di Indonesia sepanjang Jelajah Akhir Dunia selepas ini.
Sementara itu, Malaysia masih mempunyai wakil menerusi beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.