Final ATP: Rafael Nadal masih 50-50 dengan prestasi musim depan
Astro Arena
November 16, 2022 09:50 MYT
November 16, 2022 09:50 MYT
RAFAEL Nadal tidak pasti adakah dia mampu mengembalikan prestasi terbaiknya dan cergas sepenuhnya pada 2023, tetapi apa yang pasti dia akan sentiasa memberikan pukulan terbaiknya.
Pemain veteran Sepanyol itu tewas 3-6, 4-6 kepada Felix Auger-Aliassime dalam Pusingan Akhir ATP awal pagi tadi, kekalahan keduanya di peringkat kumpulan liga sepusingan berkenaan dan kekalahan keempat berturut-turutnya secara keseluruhan.
Nadal memulakan musim ini dengan menakjubkan apabila memenangi Terbuka Australia diikuti gelaran Terbuka Perancis ke-14, sekali gus mengumpul jumlah 22 grand slam -- rekod terbanyak untuk pemain perseorangan lelaki.
Bagaimanapun, Nadal menderita masalah kaki yang serius dan pemain berusia 36 tahun itu terpaksa menarik diri daripada Wimbledon sebelum perlawanan separuh akhir menentang Nick Kyrgios berikutan terkoyak ligamen perut.
Kecederaan itu menghalangnya untuk kerap beraksi sepanjang musim ini dan dia jelas tidak berada di tahap terbaiknya ketika berdepan Auger-Aliassime yang membariskan bapa saudara Nadal, Toni Nadal, dalam pasukan kejurulatihannya.
"Anda boleh berada dalam kedua-dua situasi. Anda boleh optimis dan juga mempunyai keraguan. Mengapa tidak?
"Bagi saya keraguan seperti yang saya sudah katakan banyak kali adalah sangat baik di dunia ini. Orang yang tidak mempunyai keraguan, ia mungkin kerana mereka terlalu sombong, itu dari sudut pandangan saya.
"Jika anda tidak optimistik atau positif, adalah mustahil perkara akan berjalan dengan lancar. Itu pandangan saya dan itulah pendekatan saya," katanya.
Dia berharap untuk membuat permulaan mantap dalam kempen baharu di Australia kelak dan akan berusaha untuk tampil dalam keadaan cergas sihat bagi terus memburu kejuaraan.
"Saya hanya perlu memulihkan kesemua perasaan positif dan keyakinan ini termasuk mentaliti kuat yang diperlukan untuk berada di tahap yang saya dambakan.
"Dan saya tidak pasti adakah saya mampu mencapai tahap itu lagi. Tetapi apa yang saya tidak ragui ialah saya sedia bermati-matian deminya," ujarnya lagi.
Dia akan menamatkan kempen liga sepusingan itu menentang pemain muda Norway yang ditumpaskannya dalam final Terbuka Perancis, Casper Ruud, di Turin esok.