FIM MiniGP Malaysia: Qabil Irfan sedia gegar Sepang
Astro Arena
Jun 6, 2024 09:10 MYT
Jun 6, 2024 09:10 MYT
JUARA Dunia FIM MiniGP 2023, Qabil Irfan, meletakkan harapan agar berada dalam kelompok terbaik dalam perlumbaan di Litar Go Kart Sepang pada 8 hingga 9 Jun ini.
Walaupun masih berusia 12 tahun, dia optimis dengan latihan yang secukupnya mampu meningkatkan penggalamannya selepas beraksi buat pertama kali di litar besar dalam kejuaraan ESBK.
Untuk rekod, pelumba cilik itu berjaya menamatkan perlumbaan kedua di tempat ketujuh dengan catatan masa 12.069s di Valencia, Sepanyol.
"Perlumbaan di ESBK ini adalah pengalaman pertama saya berlumba di litar besar. Hari itu saya berjaya dapat di petak keempat hingga tujuh.
"Saya buat latihan penuh. Dan, sebelum ini ada perlumbaan di Tangkak, saya berjaya menang, kemudian terus terbang ke Valencia.
"Di Sepang, saya akan buat yang terbaik untuk berada di kelompok hadapan dan buat yang terbaik untuk emak dan ayah saya," katanya
Dia meletakkan juara dunia tujuh kali MotoGP, Valentino Rossi, sebagai idolanya dalam sukan permotoran untuk terus melangkah lebih jauh di masa hadapan.
"Pada waktu pagi saya pergi sekolah, lepas pulang saya berlatih sampai lepas Maghrib. Saya bercita-cita nak jadi seperti Valentino Rossi," katanya.