FIM MiniGP Dunia: Qabil Irfan, Qayyim Razin ke Aragon berbekal keyakinan tinggi
Astro Arena
November 8, 2024 22:45 MYT
November 8, 2024 22:45 MYT
LIMA wakil negara termasuk juara dunia 160cc, Qabil Irfan Azlan, bakal berentap mencari pengisian podium di pentas Aragon, Sepanyol, menjelang FIM MiniGP Dunia, Selasa depan.
"Saya dengar pelumba di sana 'main kasar' dan saya perlu begitu juga. Tapi tidak boleh sampai membahayakan pelumba lain.
"Saya sudah dua tahun berlumba dalam 160cc dan semakin selesa dengan perlumbaan kategori ini," katanya di Nadi Arena.
Qayyim Razin turut akan beraksi menerusi tiket juara MiniGP Indonesia kategori 190cc.
Meskipun memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan pelarasan enjin dalam masa yang singkat, Qayyim, mengakui lebih terserlah dalam 190cc, merujuk kepada kesesuaian fizikalnya, sekali gus beri petanda cukup baik untuk penampilan kali pertamanya dalam siri dunia.
"Ini tahun terakhir penyertaan saya dalam 160cc.
"Saya sebenarnya menyasarkan 190cc untuk Kejohanan Dunia menerusi tiket MiniGP Malaysia. 190cc lebih sesuai dengan fizikal, corak tunggangan saya.
"Lagipun 190cc jentera lebih berkuasa dan besar. Ia memberi kemajuan terhadap tunggangan saya," katanya yang ditemui di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Dalam masa yang sama, rakan seperjuangan, Airel Marzuki, bertekad meraih podium bagi penampilan keduanya dalam Kejohanan Siri Dunia MiniGP.
Insiden jatuh motor dan sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-14 dalam edisi lalu memberi pengajaran cukup bermakna buat Airel yang lebih matang kali ini.
* Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com