Figueroa bawa JDT ke tangga kedua

Astro Arena
Jun 21, 2015 00:48 MYT
Gol tunggal skuad 'The Southern Tigers' dijaringkan oleh penyerang import dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-76.
Pasukan selatan tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) melonjak ke tangga kedua liga setelah mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu, yang beraksi tanpa penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA), Gong Badak.
Gol tunggal skuad 'The Southern Tigers' dijaringkan oleh penyerang import dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-76.
Terengganu dikenakan hukuman bermain tanpa penyokong berserta denda berjumlah RM87,500 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) angkara tindakan penyokong membakar suar dan membuat kecoh pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Lions XII pada 16 Mei.
Pasukan Sarawak pula gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Perak di Stadium Negeri Sarawak, Kuching.
Pasukan pelawat membuka jaringan menerusi penyerang import dari Korea Selatan, Namkung Woong pada minit ke-57 sebelum skuad 'Ngap Sayot' menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil jaringan pemain import dari Australia, Ryan Griffiths.
Di Stadium Jalan Besar, Singapura, pasukan Lions XII turut meraih tiga mata penuh apabila mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pasukan seberang tambak Johor itu memperoleh jaringan pertama menerusi Nor Fazly Alias yang menanduk masuk bola ke dalam gawang sendiri sebelum Lions XII menambah jaringan menerusi Muhammad Safuan Baharudin pada minit ke-50 dan Shahdan Sulaiman pada minit ke-84, manakala Nor Fazly sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-59, kali ini di gawang yang betul.
Dalam pada itu, aksi liga antara pasukan Kelantan menentang Sime Darby FC di Stadium Sultan Muhammad IV, ditunda ke suatu tarikh yang belum ditetapkan berikutan keputusan kerajaan negeri tidak membenarkan stadium digunakan untuk perlawanan liga sepanjang bulan Ramadan kerana pekarangan stadium akan digunakan sepenuhnya untuk program Madinah Ramadan.
#Argentina #JDT #Johor Darul Ta'zim #Luciano Figueroa #terengganu #The Southern Tigers