SIAPA cakap bermain permainan video anda tidak boleh berjaya? Ramai juga yang membuktikan bermain permainan video ini juga mampu membina kerjaya dan menjana pendapatan.

Itulah luahan anak muda kelahiran Selangor ini, Muhammad Muzaffar Zuhair Mustaffa, 18, lebih dikenali sebagai Chamack merupakan pemain profesional e-Sukan FIFA.

Anak muda yang menetap di Ampang ini, membuktikan bahawa seorang pemain e-sukan juga mampu membahagikan masa dalam akademik sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Keputusan SPM Chamack


Menurutnya, dia begitu komited dalam akademik dan bidang e-sukan kerana ingin membuktikan bahawa tidak semestinya dengan permainan video mampu menghalang seseorang daripada memperoleh keputusan yang cemerlang.

“Alhamdulillah, dengan berkat usaha dan fokus dalam akademik, saya komited untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang demi mengharumkan nama keluarga.

“Saya berjaya mendapat kesemua mata pelajaran A, dan saya sangat gembira dengan apa yang diusahakan selama ini membuahkan hasil,” katanya.

Tidak hanya bermain permain video, dia juga merupakan seorang pemain bola sepak yang turut mewakili sekolah dan kelab bola sepak.

Dia yang belajar di Sekolah Menengah Aminuddin Baki itu berkata, rakan dan cikgu sentiasa menyokong dan memberi sokongan penuh kepadanya.

“Cikgu saya merupakan admin kepada Facebook sekolah dan sekiranya saya ada pertandingan pasti cikgu itu akan memuat naik gambar dan info pertandingan.

“Rasa bangga dapat mengharumkan nama sekolah dalam bidang ini dan juga akademik,” katanya.


Masa belajar dan masa bermain FIFA

Diajukan soalan berkenaan bagaimana dia membahagikan masa belajar dan bermain FIFA, ini jawapannya.

“Pada hari biasa, saya akan habiskan rutin biasa saya pergi sekolah dan balik pada jam 3 petang. Ada masa saya akan berlatih bersama pemain pro yang lain.

Chamack bersama rakan-rakan di SMK Aminuddin Baki


Chamack bersama rakan-rakan di SMK Aminuddin Baki


“Tahun lepas, tak silap hari sebelum menduduki kertas Bahasa Melayu, saya ada pertandingan yang tidak dapat dielakkan. Namun, saya berjaya membahagikan masa saya untuk belajar dan main FIFA,” katanya.

Ditanyakan mengenai awal penglibatan dalam e-sukan ini, Chamack berkata, dia pada mulanya hanya sekadar suka-suka dan tidak memikirkan akan berada pada tahap sekarang.

“Main sebab abang saya main bersama terutamanya FIFA. Biasalah, awal dulu tak pandai main dan abang saya turut mengajar saya.

“Seingat saya, pertandingan pertama saya masuk pada tahun 2017 dan pada masa itu saya berusia 14 tahun. Saya berjaya melayakkan diri pada peringkat kalah mati dan saya berlawan dengan AM Tuah,” katanya.

UNIFI eMFL LIGA SUPER 2021

Baginya, itu merupakan pengalaman pertama dan itu adalah batu loncatan buat dirinya untuk berada dalam bidang ini.

“Walaupun kalah pada masa itu saya menjadikan pertandingan itu sebagai pengalaman baharu dan saya yakin saya boleh pergi jauh lagi,” katanya.

Chamack berkata, ibunya, Zaleha Yusof, pada mulanya agak keberatan untuk melepaskannya kerana dia baru berusia 14 tahun dan ibunya tidak tahu mengenai pertandingan FIFA.

“Disebabkan masih terlalu muda dan saya masih ingat ibu saya banyak bertanya mengenai pertandingan itu.

“Selepas pertandingan itu, saya lebih banyak menyertai pertandingan yang dianjurkan pihak GAMESBOND, yang kini lebih terkenal dengan melahirkan bakat-bakat baharu pemain FIFA,” katanya.

Menurutnya, kejayaan yang dikecapinya dalam bidang ini bukanlah satu jalan yang mudah dan banyak jatuh bangun terpaksa dihadapinya.

“Antara pencapaiannya adalah National Champion Bulan Sukan Negara (Selangor), Juara ConveFest MMU, Juara KL Esports Community Cup, Juara Nivea GrandFinal, Juara Lunar Cup.

“Paling terbaru, Juara VBL 2021 peringkat serantau (Malaysia dan Indonesia ) dan Top 8 VBL 2021 Asia,” katanya.


Juara VBL 2021


Tekanan sebagai pemain e-sukan FIFA

Dia berkata, tekanan sebagai pemain e-sukan itu adalah biasa apabila berada pada tahap ini.

“Jika kita terlalu emosi dan mengikut perasaan kita akan mudah hilang fokus. Biasalah, ada yang tidak suka dengan cara permainan saya dan ada yang beranggapan mereka jauh lebih baik.

“Saya tidak hiraukan apa yang mereka ingin katakan. Mak saya saja boleh kritik saya,” katanya sambil ketawa kecil.


Kekal momentum

“Apa yang membezakan saya dan pemain terdahulu adalah saya berada dalam peredaran masa yang tepat. Dulu tiada banyak pertandingan seperti sekarang.

“Permainan video FIFA kini lebih berkembang dan kini ramai pemain dan bakat baharu mula menunjukkan cara permainan mereka yang berbeza-beza.

Menurut anak bongsu dari tiga beradik itu, dia tidak boleh berasa selesa pada tahap sekarang dan perlu membuat penambahbaikan tentang cara perlawanannya.

“Saya kena sentiasa cari masa untuk latihan teknik, corak taktikal dan pelbagai lagi. Jangan terlalu selesa kita berada pada tahap sekarang dan saya perlu sentiasa ingat di mana saya bermula,” katanya.


Kebanggaan keluarga

Siapa tidak bangga sekiranya anak yang disayangi dapat membanggakan nama keluarga, bukan saja dalam bidang e-sukan malah dalam pelajaran.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT dengan kejayaan demi kejayaan yang diberikan kepada anak kami.

“Kami sangat bangga dengannya keputusan cemerlang yang diperoleh semua A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru ini,” kata keluarganya.


Penerimaan awal

Pada mulanya, Nazwan Adlin Abbas, menginginkan anaknya untuk bergiat aktif dalam bidang sukan bola sepak.

“Saya ingin dia jadi pemain bola sepak profesional sebenarnya, dan sejak kecil lagi sudah memberi pendedahan dalam dunia bola sepak.

“Saya membawa dia pergi latihan kelab setiap hujung minggu,” katanya.

Menurutnya, bakat anaknya itu mula kelihatan apabila dia mula bermain secara serius ketika berusia 14 tahun.

“Awalnya dia bermain dengan abangnya dan rakan yang sering ke rumah dan sejak itu saya nampak dia mula untuk menyertai pertandingan FIFA ini,” katanya.

Sebagai ibu bapa, apa yang penting memberi dorongan dan sokongan kepadanya.


Pengurusan masa

Ibunya pula, lebih cenderung terhadap jadual pelajaran Chamack dan sering menasihatinya untuk lebih fokus pada pelajaran terlebih dahulu.

Chamack bersama keluarga.


“Kebanyakan masa, ibunya akan memantau pelajaran dia dan kami tidak pernah berhenti menyokong Chamack untuk mencapai apa yang dia inginkan.

Bagi Nazwan, dia dan isteri tidak pernah mengongkong anak mereka untuk memilih mana-mana bidang yang anak mereka minati.

“Biasalah.. ibu bapa mana yang tidak mahu anak mereka berjaya dalam pelajaran dan juga bidang yang mereka sukai. Bagi saya tiada masalah yang penting dia pandai membahagi masa dalam pelajaran dan masa untuk FIFA.

“Sebagai ibu bapa kita perlu memantau tingkah laku anak-anak. Sekiranya, ada yang tidak betul kita tegur mereka supaya tidak menyesal di kemudian hari,” katanya.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !