FIFA umum tiga pencalonan Anugerah Puskas 2021

Bernama
Januari 5, 2022 11:55 MYT
Selain pemain sayap Argentina Erik Lamela (gambar), penyerang Czech Patrik Schick, dan penyerang Iran Mehdi Taremi turut tersenarai sebagai finalis bagi anugerah itu. - Reuters
ANKARA: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan tiga finalis bagi Anugerah Puskas 2021 pada Selasa, suatu penghormatan yang diberikan kepada penjaring gol terbaik tahun lepas.
FIFA berkata dalam satu kenyataan bahawa undian terhadap jaringan 11 gol tercantik 2021 telah berakhir pada 17 Disember, melayakkan tiga finalis bersaing merebut anugerah itu, lapor agensi Anadolu.
Ia menambah bahawa nama pemenang akan diumumkan ketika majlis Anugerah Bola Sepak FIFA Terbaik yang akan diadakan di ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland, pada 17 Jan.
Pemain sayap Argentina Erik Lamela, penyerang Czech Patrik Schick, dan penyerang Iran Mehdi Taremi tersenarai sebagai finalis bagi anugerah itu.
FIFA memperkenalkan Anugerah Puskas pada 2009 sebagai pengiktirafan terhadap penjaring gol terbaik tahun sebelumnya, juga sebagai penghormatan kepada legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas.
Puskas merupakan bekas penyerang Real Madrid pada tahun 1950-an dan 1960-an, dan dianggap sebagai salah seorang pemain bola sepak lagenda.
Beliau berumur 79 tahun ketika meninggal dunia pada 2006.
Calon Anugerah Puskas FIFA 2021 seperti berikut:
- Erik Lamela (Argentina) - Arsenal vs Tottenham Hotspur (Liga Perdana Inggeris, 14 Mac 2021)
- Patrik Schick (Republik Czech) - Republik Czech vs Scotland (UEFA EURO 2020, 14 Jun 2021)
- Mehdi Taremi (Iran) - Chelsea vs Porto (Liga Juara UEFA, 13 April 2021)
-- BERNAMA
#FIFA #Puskas #gol tercantik #erik lamela
;