FIFA 'terpukau' jaringan Safawi Rasid
Sinar Harian
Julai 1, 2023 16:05 MYT
Julai 1, 2023 16:05 MYT
PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jelas 'terpukau' dengan jaringan menarik Safawi Rasid ketika Malaysia berdepan Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan baru-baru ini.
Menerusi satu ciapan di laman sosial Twitter, FIFA memuat naik gol menarik yang dihasilkan Safawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 14 Jun lalu.
"Kemahiran yang mengagumkan daripada pemain Malaysia, Safawi Rasid," kata badan induk bola sepak dunia itu.
Jaringan memukau itu terhasil pada minit ke-77 apabila Safawi yang menerima hantaran Lee Tuck berjaya menggunakan kemahiran dimilikinya bagi merobek gawang Kepulauan Solomon.
Safawi yang dimasukkan sebagai pemain gantian, terlebih dahulu menampan bola menggunakan kaki kanannya sebelum melambung bola tersebut menggunakan kaki kiri untuk mengatasi pertahanan lawan.
Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu kemudiannya melepaskan rembatan padu dengan menggunakan kaki kirinya ketika bola masih belum 'jejak' ke tanah.
Sebelum ini, laman sesawang terkenal bola sepak antarabangsa, B/R Football turut 'terpesona' dengan jaringan Safawi itu dan menciap mengenai gol tersebut.
Menerusi akaun Twitternya, B/R Football memamparkan klip video terbabit dengan menciap 'menambah pemain Malaysia, Safawi Rasid dalam senarai Puskas.'
Arena bola sepak Malaysia pernah 'mendonia' apabila Faiz Subri memenangi anugerah Puskas - jaringan tercantik pada Malam Anugerah FIFA 2016 di Zurich, Switzerland. - Sinar Harian