FIFA luahkan 'kekesalan' berhubung kontroversi peta Crimea semasa undian

Bernama
Disember 16, 2024 07:40 MYT
Dari kiri, Robert Pires, Ariane Hingst, Fernando Llorente, Manolo Zubiria, Semra Hunter, Rachel Yankey dan Gianluca Zambrotta ketika undian kelayakan Piala Dunia 2026 di ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland, 13 Dis 2024. REUTERS
BERLIN: Badan induk tadbir urus bola sepak, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meluahkan kekesalan selepas peta yang menunjukkan Crimea sebagai sebahagian daripada Rusia dipaparkan semasa undian kelayakan Piala Dunia 2026 pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Ukraine melahirkan kemarahan apabila Kementerian Luarnya menuntut permohonan maaf secara terbuka. Crimea dipisahkan secara haram dari Ukraine oleh Rusia pada 2014 dan masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf tindakan itu.
FIFA yang seharusnya memohon maaf secara terbuka, sebaliknya menghantar sepucuk surat kepada Persekutuan Bola Sepak Ukraine yang kemudian menerbitkan salinan itu di laman sesawangnya.
Dalam surat itu, FIFA menyalahkan "penyedia perkhidmatan luar pihak ketiga" dan menyatakan yang badan induk itu sudah mengambil "langkah segera" untuk menangani isu berkenaan sebaik sahaja ia dikesan. Penelitian dijalankan bagi mengelakkan perkara yang sama daripada berulang.
Surat itu menggunakan istilah "kecuaian" tetapi tidak menyebut kesilapan atau kesalahan.
Elkhan Mammadov, Ketua Pegawai Persatuan Ahli FIFA menulis surat itu dan menyatakan "kami amat kesal atas sebarang kebimbangan yang mungkin timbul" tetapi tidak menyatakan permohonan maaf secara jelas.
Rusia melancarkan pencerobohan terhadap Ukraine selama hampir tiga tahun.
Ukraine berulang kali menyuarakan hasratnya untuk membebaskan Crimea daripada pendudukan Rusia.

Are you OK, @FIFAcom? By redrawing international borders in yesterdays broadcast, you not only acted against international law, but also supported Russian propaganda, war crimes, and the crime of aggression against Ukraine. We fixed the map for you and expect a public apology. pic.twitter.com/UAr7voKqGi

— Heorhii Tykhyi (@SpoxUkraineMFA) December 14, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
-- BERNAMA-dpa
#FIFA #Ukraine #peta Crimea #undian kelayakan Piala Dunia 2026
;