FIFA lakukan kejutan akan umum pemenang anugerah terbaik pada Selasa

Bernama
Disember 16, 2024 07:10 MYT
FIFA mengumumkan bahawa pemenang Anugerah Terbaik, termasuk Pemain Terbaik Dunia akan diumumkan pada 17 Disember. - Foto FIFA
BERLIN: Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan bahawa pemenang Anugerah Terbaik, termasuk Pemain Terbaik Dunia akan diumumkan pada Selasa, menerusi kenyataan mengejut oleh badan induk pentadbir bola sepak itu, lapor agensi berita Jerman dpa.
Dengan hanya notis sehari, FIFA pada Isnin menyatakan bahawa pemenang akan diumumkan dalam satu acara khas di ibu negara Qatar, Doha, yang akan disiarkan secara langsung.
Real Madrid dan kelab Mexico CF Pachuca dijadualkan bertemu dalam pertandingan baharu, Piala Antara Benua FIFA, di Qatar pada Rabu sempena ulang tahun final Piala Dunia 2022 yang diadakan di negara itu.
Sementara itu, Piala Dunia Kelab FIFA yang diperluas akan berlangsung pada Jun depan.
Menurut kenyataan FIFA, majlis makan malam itu akan dihadiri beberapa tetamu kenamaan termasuk Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Dalam kategori Pemain Terbaik Dunia Lelaki, antara calon pilihan adalah pemain Sepanyol, Rodri, yang juga juara Eropah dan telah memenangi Ballon d'Or, serta bintang Real Madrid dari Brazil, Vinicius Junior.
Bagi kategori jurulatih terbaik pasukan lelaki, pengendali Bayer Leverkusen, Xabi Alonsoi, tersenarai sebagai calon.
Pemenang kategori wanita turut akan diumumkan, dengan bintang Sepanyol dan Barcelona, Aitana Bonmatí berpeluang memenangi anugerah itu buat kali kedua berturut-turut.
Pemenang bagi setiap anugerah diputuskan melalui sistem undian seimbang yang melibatkan peminat (melalui undian dalam talian), kapten dan jurulatih semasa semua pasukan kebangsaan wanita dan lelaki, serta wakil media.
--BERNAMA
#FIFA #Pemain terbaik dunia #Piala Dunia Kelab FIFA #Piala Antara Benua FIFA
;