FIFA gugurkan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun
Agensi
Mac 29, 2023 06:30 MYT
Mac 29, 2023 06:30 MYT
PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Rabu mengugurkan Indonesia sebagai tuan rumah bagi Piala Dunia Bawah 20 Tahun (U-20) 2023 berikutan kegagalan memberikan komitmen untuk kejohanan itu,
Keputusan negara berkenaan untuk tidak mengendalikan kejohanan yang dijangka berlangsung pada 20 Mei hingga 11 Jun itu dibuat Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) berikutan penolakan penyertaan pasukan Israel di kejohanan tersebut oleh dua orang gabenor di republik itu.
“Disebabkan beberapa keadaan semasa, FIFA telah membuat keputusan mengeluarkan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun 2023,” kata FIFA dalam kenyataan yang dikeluarkan seperti dilaporkan Reuters.
FIFA turut berkata, pengumuman negara mana yang bakal mengambil alih tanggungjawab sebagai tuan rumah kejohanan berkenaan akan dibuat dalam masa terdekat.
Dalam masa sama, tarikh kejohanan berkenaan, jelas FIFA, kekal tidak berubah.
“Kemungkinan bentuk hukuman yang akan dikenakan terhadap PSSI juga akan diumumkan pada peringkat seterusnya,” tegas FIFA lagi.
Badan induk bola sepak antarabangsa itu berkata, keputusan berkenaan diambil selepas pertemuan yang berlangsung antara Presiden FIFA, Gianni Infantinio dan Ketua Umum PSSI, Erick Thohir di Doha, Qatar pada Rabu.
Baru-baru ini demonstrasi mengibarkan bendera Indonesia dan Palestin diadakan di ibu negara itu, Jakarta menuntut agar pasukan bola sepak Israel tidak dibenarkan menyertai kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun 2023.
Gabernor Bali, Wayan Koster dan Gabernor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo turut melakukan bantahan yang sama.
Indonesia merupakan negara yang memiliki penduduk Islam terbesar di dunia.
Negara itu dipilih sebagai penganjur pertandingan edisi 2023 pada Oktober 2019 sedangkan penyertaan pasukan Israel hanya diketahui pada Julai 2022.
Kejohanan Piala Dunia B-20 dijadualkan bermula dari 20 Mei hingga 11 Jun membabitkan 24 negara dan berlangsung di enam lokasi iaitu Bali, Bandung, Jakarta, Palembang, Solo dan Surabaya.
Media tempatan melaporkan FIFA secara rasmi membatalkan undian kumpulan Piala Dunia B-20 yang bakal diadakan pada 31 Mac di Bali.