FIFA gantung Luis Rubiales tiga tahun gara-gara kucup pemain wanita
Astro Arena
Oktober 31, 2023 15:15 MYT
Oktober 31, 2023 15:15 MYT
PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggantung bekas presiden Persatuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) selama tiga tahun daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.
Luis Rubiales didapati mengucup bibir pemain wanita Sepanyol, Jenni Hermoso, sewaktu penyampaian trofi Piala Dunia sebaik menewaskan England dalam aksi final pada 20 Ogos lalu.
Biarpun Rubiales pada awalnya kelihatan mahu mengekalkan jawatannya, dia kemudian meletakkan jawatan itu pada bulan lalu dan kini dihukum gara-gara melanggar Artikel 13 Kod Disiplin FIFA.
“Jawatankuasa Disiplin FIFA telah menggantung Luis Rubiales, bekas presiden Persatuan Bolasepak Sepanyol (RFEF), daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa selama tiga tahun setelah mendapati melanggar artikel 13 Kod Tatatertib FIFA,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan
“Kes ini berkaitan dengan peristiwa yang berlaku semasa perlawanan akhir Piala Dunia Wanita FIFA pada 20 Ogos 2023, yang mana Encik Rubiales telah digantung sementara untuk tempoh awal selama 90 hari.
“Encik Rubiales telah dimaklumkan mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA hari ini.
“FIFA mengulangi komitmen penuh dalam menghormati dan melindungi integriti semua orang dan memastikan peraturan asas berkelakuan baik terus ditegakkan.”
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro