FIFA dan AFC berkolaborasi bina Stadium AFC di Putrajaya

Bernama
Oktober 18, 2022 19:54 MYT
Shaikh Salman Ebrahim (kiri) yakin bahawa Stadium AFC baharu itu akan membuka lembaran baharu, sementara Infantino berkata projek tersebut adalah pelaburan penting untuk bola sepak Asia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan kerjasama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan membina sebuah stadium canggih berkapasiti 10,000 penonton dinamakan Stadium AFC di Putrajaya.
Menurut makluman AFC dalam laman rasminya pada Selasa, stadium berkenaan bakal dibangunkan di atas tapak seluas 6.172 hektar, kira-kira 30 kilometer dari Ibu Pejabat AFC di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Dengan keluasaan lantai stadium kira-kira 580,000 kaki persegi dengan kapasiti tempat duduk 10,000 dan akan mempunyai padang bola sepak berkualiti tinggi mengikut piawaian FIFA, stadium mega itu akan dilengkapi dengan grandstand, boulevard dan atrium yang akan menempatkan penonton, pejabat pentadibiran dan parkir bawah tanah.
Antara beberapa ciri lain lain, stadium berkenaan juga akan menyediakan kafeteria, ruangan media dan bilik pengulas media serta tarikan air pancut di pintu masuk stadium.
Menurut AFC dalam kenyataan itu, dana untuk membangunkan stadium itu akan dijana daripada peruntukan FIFA di bawah Program FIFA Forward untuk meneruskan misi AFC memperkasa bola sepak negara ahli persatuan (MA) dan persatuan serantau (RA).
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kerajaan Malaysia pula bertanggungjawab menyediakan tapak stadium dan sokongan logistik kepada projek tersebut, kata AFC.
Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, berkata beliau yakin bahawa Stadium AFC akan membuka lembaran baharu kepada MA dan RA untuk mencapai mutu bola sepak yang lebih tinggi dalam dekad akan datang.
"Ibu pejabat AFC di sini menjadi lokasi penting pembangunan melalui pelbagai latihan, kursus, bengkel dan seminar dalam bidang teknikal dan pengadilan dan kini dengan adanya Stadium AFC dan kami mempunyai potensi untuk melakukan lebih banyak lagi.
"Bagi pihak keluarga bola sepak Asia, saya harus berterima kasih kepada FIFA atas kesediaan mereka untuk melakar era baharu kemajuan bersama AFC dan juga kerajaan Malaysia atas dedikasi terhadap pembangunan bola sepak di Asia, bukan sahaja melalui projek ini tetapi juga kerana sokongan yang telah diberikan sejak beberapa dekad," kata Shaikh Salman.
Sementara itu, Presiden FIFA, Gianni Infantino, yang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC ke-11 di Putrajaya pada Isnin, berkata projek tersebut adalah pelaburan penting untuk bola sepak Asia.
"Ia adalah projek yang hebat dan saya sangat berbangga dan gembira kerana kami bekerjasama melalui stadium AFC dan FIFA ini yang melambangkan satu langkah baharu yang sangat penting bagi seluruh rantau Asia," katanya.
#afc #FIFA #Putrajaya #Stadium bola sepak
;