FIFA 18: AmTuah tersungkur di pusingan kalah mati Virtuelle Bundesliga

Mariah Ahmad
April 1, 2018 10:58 MYT
Jaguh antarabangsa FIFA 18, Nur Amirul Afandi (AmTuah) bermain untuk pasukan Jerman Schalke 04 sebagai syarat untuk sertai Kejohanan Virtuelle Bundesliga yang berlangsung di Jerman. - Facebook / Amirul "AmTuah" Afandi
JAGUH e-sukan FIFA 18 Asia Tenggara Nur Amirul Afandi (AmTuah) terpaksa melupakan hasrat untuk membawa pulang trofi kejuaraan kejohanan Virtuelle Bundesliga selepas tewas kepada pemain Jerman, Tim Katnavatos pada pusingan pertama kalah mati.
AmTuah yang bermain di bawah kelab bola sepak gergasi Jerman, Schalke 04 berkata saingan yang diberikan daripada pemain-pemain Jerman adalah sangat kental.
“Saya memang dah cuba yang terbaik. (Pesaing) memang berada di tahap yang lain tapi saya dapat banyak belajar daripada mereka.
“Terima kasih yang memberi sokongan kepada saya,” kata AmTuah menerusi video penstriman langsung di Facebook, selepas tamat perlawanan yang berlangsung di Muzium Bola Sepak Jerman di Dortmund pada malam tadi.
BACA: FIFA 18: "Nenek suruh jangan risau, mahu saya fokus kepada game" - AmTuah
AmTuah sebelum ini berada di kedudukan lapan teratas kejohanan itu selepas bersaing dalam peringkat kumpulan.
BACA: FIFA 18: Malaysia juara Virtuelle Bundesliga Asia Tenggara
Kejohanan yang menawarkan wang terkumpul sebanyak RM270,685 (£50,000) itu menggunakan format mod FIFA Ultimate Team (FUT).
Seramai 24 pemain terbaik dari seluruh dunia yang bertanding dalam kejohanan ini yang menggunakan konsol PlayStation 4 (PS4) dan Xbox One.
AmTuah layak ke kejohanan tersebut selepas memenangi pusingan kelayakan peringkat Asia Tenggara yang berlangsung Februari lalu.
Kejohanan Virtuelle Bundesliga telah dianjurkan sejak 2012 dan dinaik taraf sebagai salah satu kelayakan ke Piala e-Dunia FIFA (FeWC).
#amirul afandi #amtuah #FIFA #fifa 18 #schalke 04 #virtuelle bundesliga