FIFA 18: AmTuah keluar FDG, tidak pertimbang sertai mana-mana organisasi e-sukan

Mariah Ahmad
Mac 22, 2018 12:42 MYT
Nur Amirul Afandi (AmTuah) memegang rekod cemerlang sebagai pemain e-sukan FIFA. Gelaran juara Kejohanan Sukan Elektronik Asia Tenggara pada 2016 dan Juara Virtuelle Bundesliga Asia Tenggara pada tahun ini sememangnya membanggakan rakyat Malaysia.
Tidak sampai seminggu pemain profesional e-sukan FIFA 18 Nur Amirul Afandi (AmTuah), 23 tahun, mengumumkan keluar daripada pasukan Fire Dragoon (FDG), dia sudah ditawarkan untuk sertai beberapa organisasi e-sukan.
Bagaimanapun, AmTuah tidak mempertimbangkan untuk menyertai mana-mana organisasi e-sukan kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya untuk kejohanan Virtuelle Bundesliga di Jerman nanti.
“Memang sudah ada beberapa pasukan yang menawarkan peluang untuk sertai mereka.
“Fokus utama saya buat masa ini adalah untuk kejohanan Virtuelle Bundesliga dan saya tidak akan pertimbang mana-mana tawaran,” katanya dihubungi Astro AWANI semalam.
BACA: FIFA 18: Malaysia juara Virtuelle Bundesliga Asia Tenggara
Semalam, juara Kejohanan Sukan Elektronik Asia Tenggara (AGES) 2016 itu mengumumkan untuk meninggalkan pasukan FDG selepas hampir setahun bersama.
Menurut AmTuah, keputusan meninggalkan FDG adalah berdasarkan persetujuan bersama.
"FDG memang membantu memperbaiki corak permainan saya. Sepanjang bersama organisasi tersebut, mereka turut memberi sokongan penuh kepada saya.
"Saya tidak akan mencapai kejayaan yang ada hari ini tanpa FDG," katanya yang menyertai FDG sejak April 2017.
Sementara itu, AmTuah turut berkongsikan persiapannya ke Grand Final Virtuelle Bundesliga nanti.
Jelasnya, persiapan kali ini rapi berbanding penyertaannya ke Piala Dunia Sukan Elektronik (ESWC) tiga tahun lalu di Paris.
"Saya sudah bersedia dengan pasukan yang saya akan 'gunakan' untuk ke Jerman nanti.
"Latihan yang dilakukan untuk kejohanan ini adalah sangat terperinci dengan memberi fokus yang luar biasa kepada penguasaan kemahiran asas," katanya.
AmTuah bakal berentap menentang pemain FIFA 18 di seluruh dunia dalam kejohanan Virtuelle Bundesliga pada 31 Mac ini sebagai wakil Malaysia dan Asia Tenggara.
#amtuah #arena maya #fdg #fifa 18 #fire dragoon