Ferrer juarai Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia 2015

Bernama
Oktober 4, 2015 21:00 MYT
Pemain Sepanyol David Ferrer, yang juga pilihan utama kejohanan, muncul juara mengetepikan rakan senegara Feliciano Lopez 7-5, 7-5.
Impian pemain nombor lapan dunia David Ferrer menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia 2015 (MOKL) menjadi kenyataan selepas menundukkan kawan baiknya, Feliciano Lopez dalam perlawanan di Stadium Tertutup Putra, Bukit Jalil.
Selepas lima kali menyertai kejohanan ini, pemain Sepanyol yang juga pilihan utama kejohanan muncul juara mengetepikan rakan senegaranya 7-5 dan 7-5 dalam perlawanan sengit selama 1:33:28.
"Hari ini permainan terbaik saya di MOKL. Lopez seorang pemain yang bagus tetapi saya gembira saya dapat melakukan servis yang baik dan menang kejohanan...gembira dapat bermain secara konsisten. Penting bagi saya menang set pertama bagi memberi keyakinan kepada saya untuk seluruh perlawanan.
"Saya memang fokus kepada permainan. Dalam permainan saya selalu mahu menikmati masanya kerana bila saya selesai bermain, saya boleh mengingatinya," kata Ferrer kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah.
Selaku juara Ferrer memenangi hadiah wang tunai AS$170,600 (RM752,772), sementara Lopez yang dalam penyertaan ketiga mendapat AS$89,840 (RM396,419).
Hadiah disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Lopez pemain ke-17 dunia mengaku agak emosional di atas gelanggang berikutan keghairahannya untuk bermain dengan baik tetapi gagal mengatasi permainan Ferrer yang agresif.
"Saya hanya mahu melakukan yang terbaik tetapi dia lebih baik dari saya. Dia agresif. Saya buntu untuk mengalahkan dia. Saya fikir servis saya bagus tetapi ia perlawanan yang sengit. Dia sangat pantas," katanya.
Sementara itu pasangan pilihan kedua Treat Huey dari Filipina dan Henri Kontinen dari Finland mengejutkan pilihan utama kejohanan Raven Klaasen dari Afrika Selatan dan Rajeez Ram dari Amerika Syarikat untuk muncul juara regu Terbuka Malaysia.
Klaasen/Ram yang julung kali berganding pada Manchester Challenge pada Jun lalu dan menangi Jelajah Dunia ATP pertama di Halle tewas kepada Huey/Kontinen 7-6(4) dan 6-2 dalam masa 1:17:41.
"Perlawanan hari ini sangat 'cool'...Henri cuba kembali bersaing dalam set pertama. Kami bermain dengan baik sejak berganding pertama kali. Memang bagus bermain di sini kerana ramai peminat Filipina yang memberi sokongan kepada saya, menjadikan ia sangat istimewa," jelas Huey.
Pasangan beregu itu mendapat hadiah wang tunai AS$51,820 (RM228,655) dan 250 mata ranking ATP.
#David Ferrer #Feliciano Lopez #mokl #tenis terbuka malaysia
;