Ferrari Schumacher dijual pada harga AS$14.8 juta di Geneva

Bernama
November 10, 2022 11:12 MYT
Ferrari F2003 GA dengan nombor chasis 229 milik Michael Schumacher ketika dipamerkan Sotheby's sebelum dilelong, di Geneva, Switzerland, 4 Nov 2022. REUTERS
ANKARA: Kereta Ferrari F2003-GA milik juara dunia Formula 1 tujuh kali Michael Schumacher dijual pada harga AS$14.8 juta dalam satu lelongan di Geneva pada Rabu.
"Dari Juara Dunia kepada pemegang rekod dunia, kereta Ferrari F2003-GA yang paling berjaya kini merupakan kereta F1 moden paling bernilai tinggi dalam sejarah.
"Kereta yang dipandu Michael Schumacher dalam perjalanan mengejar gelaran keenamnya telah dijual pada harga CHF (Franc Swiss) 14,630,000 (AS$14,873,327) pada Luxury Week Sotheby's di Geneva," lapor Anadolu Agency memetik RM Sotheby's, sebuah syarikat lelongan kereta klasik yang beribu pejabat di Blenheim, Ontario, Kanada di Twitter.
Pada 2017, sebuah lagi Ferrari yang dipandu Schumacher - F2001 dijual pada harga AS$7.5 juta oleh Sotheby's di New York.
Schumacher dari Jerman, 53, masih dalam proses pemulihan sejak mengalami kecederaan kepala dalam kemalangan ski pada Disember 2013.
Beliau diletakan dalam keadaan koma selama beberapa bulan selepas kemalangan itu. Keluarganya dibenarkan memindahkannya pulang pada September 2014.
-- BERNAMA
#Ferrari #Michael Schumacher #Formula 1 #lelongan
;