Fernandinho dedah semakin hampir lanjut kontrak
Astro Arena
Januari 8, 2020 07:40 MYT
Januari 8, 2020 07:40 MYT
Fernandinho semakin hampir untuk menandatangani kontrak lanjutan bersama Manchester City selepas didedahkan oleh pemain berusia 34 tahun itu.
Dia yang menyertai juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu daripada Shaktar Donetsk pada 2013 bakal menamatkan kontrak sedia ada di penghujung musim ini.
Pengendali City, Pep Guardiola, secara terbuka menyatakan keinginan untuk mengekalkan Fernandinho di Etihad dan dia tampak bakal terus memiliki khidmat pemain tengah itu.
"Apabila saya memperbaharui kontrak di penghujung 2018, kami meletakkan klausa di mana sekiranya saya mencapai beberapa sasaran, kontrak saya secara automatik akan dilanjutkan," kata pemain Brazil itu.
"Perbincangan telah bermula, kami berbincang tentangnya bulan lalu. Saya hampir untuk mencapai sasaran itu dan memperbaharui kontrak tetapi kami hanya boleh mengesahkannya selepas menandatangani kontrak baru."
Tatkala City bergelut dengan isu kecederaan di bahagian pertahanan musim ini, Fernandinho bertindak selaku bek tengah dan dia gembira dengan situasi itu.
"Ia bagus selagi anda boleh beraksi di tahap tertinggi," tambahnya.
"Beraksi dalam pelbagai posisi telah membuka ruang pembelajaran.
"Di bahagian pertahanan, saya melihat permainan dari sudut berbeza. Ia bagus dan tunjuk ajar yang saya terima daripada Guardiola sangat baik.
"Pada usia 34, beraksi dalam Liga Perdana Inggeris adalah sumber kebanggaan. Ramai pemain yang mahu melalui apa yang saya harungi."
Fernandinho beraksi penuh ketika City menewaskan Manchester United 3-1 dalam separuh akhir pertama Piala EFL, kelmarin dan dijangka turut membintangi kesebelasan utama dalam kunjungan ke Aston Villa bagi saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.