Ferguson pun tak mampu raih empat kejuaraan, kata Guardiola

Astro Arena
April 3, 2019 13:09 MYT
GUARDIOLA (kanan): "Pasukan legenda seperti Liverpool, era Alex Ferguson, Mourinho dengan Chelsea, Arsene Wenger dengan Arsenal, tiada siapa mampu melakukannya." - Foto Astro Arena
PEP GUARDIOLA menegaskan pengurus legenda Manchester United, Alex Ferguson, juga tidak dapat memenangi empat kejuaraan semusim, ketika pasukannya, Manchester City, sedang mengejar untuk melakar sejarah itu musim ini.
Dengan kejuaraan Piala Liga Inggeris (EFL) sudah berada dalam genggaman mereka, City turut melangkah ke separuh akhir Piala FA dan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Mereka juga akan mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini andai mencatatkan kemenangan dalam kesemua baki perlawanan.
Liverpool kini berkelebihan dua mata di puncak liga, namun mereka telah bermain lebih satu perlawanan dan City akan kembali melonjak ke kedudukan itu jika menewaskan lawan yang sedang bergelut di zon penyingkiran, Cardiff City, awal pagi esok.
Pengendali Cardiff, Neil Warnock, sudah memberikan gambaran pasukannya akan menurunkan pemain muda dan Guardiola juga mungkin merehatkan beberapa pemain tonggak dengan Sergio Aguero akan diketepikan menjelang aksi berdepan Brighton and Hove Albion dalam separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley, hujung minggu ini.
Ferguson membimbing United meraih kejuaraan 'treble' pada musim 1998-99, namun tiada kelab Inggeris mampu untuk menghampiri pencapaian bersejarah pengendali berbangsa Scotland itu di Old Trafford.
Guardiola pernah meraih kejuaraan 'treble' dalam musim pertamanya selaku pengendali Barcelona, namun dia sedar cabaran yang akan dilalui City dan dirinya menjelang minggu-minggu terakhir musim ini.
"Saya tidak dapat mengawal pemikiran pemain dan penyokong pasukan ini.
"Jika mereka mahu bermimpi untuk memenangi segala-galanya, saya tidak akan berkata apa-apa.
"Namun, berdasarkan pengalaman saya sebagai pengurus, apabila anda terganggu dengan situasi lain, saya hanya mahukan anda untuk fokus dan beraksi baik dan memenangi perlawanan pada jam 8.
"Mengapa anda perlu bercakap tentang empat kejuaraan ketika ia tidak pernah berlaku di negara ini?
"Pasukan legenda seperti Liverpool, era Alex Ferguson, Mourinho dengan Chelsea, Arsene Wenger dengan Arsenal, tiada siapa mampu melakukannya.
"Jadi, mengapa kami perlu melakukannya?
"Kami tidak boleh lupakan bagaimana pasukan 'treble' Sir Alex Ferguson yang terlalu hebat pada musim 98-99 memenangi liga dengan 79 mata.
"Dalam separuh akhir Piala FA, mereke berdepan situasi 10 lawan 11 dan Ryan Giggs melakukan larian pantas yang menewaskan lima ke enam pemain dan aksi final Liga Juara-Juara Eropah di Camp Nou dan segala-galanya.
"Untuk meraih kejuaraan 'treble' itu amat sukar.
"Hanya berbeza satu mata dalam liga, dalam separuh akhir Piala FA berdepan Arsenal, Bergkamp gagal menjaringkan sepakan penalti. Roy Keane dilayangkan kad merah.
"Peluang yang dimiliki Bayern terkena palang sebanyak dua kali dan United memperoleh kemenangan dengan dua sepakan penjuru terakhir.
"Semangat, keinginan untuk memenangi 'treble' dan tentu sahaja kualiti setiap yang terlibat di United membolehkan mereka untuk melaksanakannya, namun ia menunjukkan kesukaran yang perlu dilalui untuk melakukannya dan ia hanya berlaku sekali dalam hidup kita," katanya.
Guardiola sebelum ini kerap menyatakan yang ia masih terlalu awal untuk City memenangi empat kejuaraan musim ini dan walaupun ia semakin hampir, dia masih enggan mengubah tanggapannya itu.
"Saya sudah berkali-kali katakannya untuk bertanya kembali kepada saya pada April.
"Saya sudah mengarahkan pemain agar melupakannya, saya tidak mahu memikirkannya.
"Dalam tempoh satu atau dua minggu depan, kami mungkin akan kehilangan ketiga-tiga gelaran itu.
"Itulah realitinya.
"Saya tahu anda berasakan kami mampu untuk memenangi kesemua gelaran, namun kami perlu menghadapi Cardiff, kemudian sesi pemulihan, sebelum menghabiskan empat atau lima hari di London bagi menyiapkan pasukan menghadapi Brighton dan Tottenham (dalam Liga Juara-Juara).
"Ia amat baik untuk bertandang ke London, untuk mengatakan 'kami akan beraksi dalam separuh akhir' dan bertemu Tottenham di peringkat suku akhir.
"Ia persaingan terbaik di dunia, namun perlu dihadapi dengan satu-satu perlawanan.
"Itulah yang perlu anda fikirkan. Cardiff? Apa yang mereka lakukan? Apa kekuatan mereka? Apa yang perlu kami lakukan untuk mengalahkan mereka?
"Jika kami menang, saya gembira. Jika kami kalah, saya akan mengucapkan terima kasih dan bersedia untuk musim depan," katanya lagi.
#Alex Ferguson #Arsenal #Arsene Wenger #Liga Perdana Inggeris #Liverpool #Manchester City #Manchester United #Pep Guardiola #Piala FA #Scotland
;