Ferguson kembali jadi pengurus Manchester United?
Astro Awani
Februari 16, 2019 05:02 MYT
Februari 16, 2019 05:02 MYT
PENGURUS legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson akan mengendali pasukan Manchester United XI, dalam perlawanan ulang tahun ke-20 kemenangan dramatik 2-1 pasukan itu ke atas Bayern Munich pada perlawanan final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 1999.
Perlawanan itu akan diadakan di Old Trafford pada 26 Mei dan melibatkan pemain yang beraksi pada final 1999 di Nou Camp.
Pengurus sementara United, Ole Gunnar Solskjaer yang menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan dijangka turut beraksi dalam perlawanan ulangan tersebut.
Dalam perlawanan itu, United yang ketinggalan satu gol mendapat dua gol dalam masa kecederaan daripada Teddy Sheringham dan Solskjaer.
Pada tahun sama, United memenangi tiga piala utama ataupun ‘treble’ apabila turut muncul juara Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.
Ferguson, 77, bersara pada 2013 dan merupakan pengurus paling berjaya dalam sejarah bola sepak Britain dengan 38 trofi sepanjang 26 tahun menjadi pengendali United.
Perlawanan untuk meraikan ulang tahun ke-20 tersebut bertujuan untuk mengumpul dana bagi Yayasan Manchester United.
#1999
#Bayern Munich
#GGMU
#Manchester United
#Old Trafford
#Ole Gunnar Solskjaer
#Sir Alex Ferguson
#UCL