Ferguson akhiri legasi dengan kemenangan bersejarah
AFP
Mei 13, 2013 11:15 MYT
Mei 13, 2013 11:15 MYT
Alex Ferguson mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong Manchester United dan meminta mereka untuk terus memberikan sokongan kepada David Moyes selepas perlawanan akhir beliau sebagai pengurus di Old Trafford semalam (Ahad).
Ferguson mengumumkan persaraannya pada awal minggu lalu melalui satu pengumuman selepas menang 2-1 kepada Swansea City sekaligus menamatkan perkhidmatan 26 tahunnya di Old Trafford.
"Anda merupakan pengalaman fastastik dalam hidup saya," kata beliau di hadapan 75,572 penonton yang terpaku mendengar ucapan pengurus yang telah menghadiahkan 38 trofi sejak meninggalkan Aberdeen pada 1986.
"Saya rasa bertuah kerana dapat menguruskan pemain-pemain hebat di Manchester United. Semua pemain berkenaan telah mewakili kelab dengan baik sekali dan memenangi kejuaraan dengan cara mereka tersendiri. Sekalung tahniah buat mereka.
"Persaraan saya tidak bermakna pengakhiran untuk kelab. Saya masih dapat menonton mereka berbanding merasai pahit-getir bersama mereka.
"Jika anda memikirkan gol saat akhir, penghijrahan pemain malah kekalahan, ini merupakan ragam kelab kita. Seakan tak percaya kita merasai semua itu, terima kasih atas semua detik indah itu.
"Saya juga ingin mengingatkan sewaktu kami pada waktu sukar; kelab, kakitangan dan pemain sentiasa memberi sokongan kepada saya. Tugas anda sekarang ialah memberi sokongan penuh kepada pengurus baru United," jelas Ferguson.
Ferguson, 71, kemudian menjulang trofi Liga Perdana bersama pemain tiga minggu selepas United menjuarai Liga Inggeris kali ke-20 dengan mengalahkan Aston Villa 3-0.
Pengurus Everton, David Moyes akan mengambil alih jawatan pengurus bermula 1 Julai dengan kontrak enam tahun. Manakala Ferguson mengambil alih sebagai pengarah dan duta kelab berkenaan.