Felipe Massa tangguh persaraan dalam kancah F1

Astro Arena
Januari 19, 2017 12:45 MYT
MASSA: Saya gemar dengan permulaan baru, saya pasti pengalaman saya akan dapat membantu pasukan. - Reuters
FELIPE Massa tidak dapat menolak tawaran setahun lagi untuk beraksi dalam kancah Formula Satu (F1) bagi membantu pasukan Williams bersaing secara kompetitif tahun ini.
Pemandu Brazil itu mengucapkan selamat tinggal kepada F1 selepas perlumbaan di Brazil, di mana litar Abu Dhabi menjadi pentas terakhir perlumbaannya musim lalu tatkala pemandu berusia 35 tahun itu mahu memberi laluan kepada pemandu muda, Lance Stroll.
Bagaimanapun, keputusan Valtteri Bottas menyertai Mercedes bagi menggantikan Nico Rosberg yang mengumumkan persaraan menyebabkan kekosongan pemandu di Williams dan pengalaman Massa amat ditagih ketika ini.
Massa mengakui agak terkejut dengan tawaran itu, namun tidak akan menolak tawaran untuk menandatangani kontrak selama setahun.
"Saya kembali, saya berasa gembira dapat kembali bersama pasukan dan bertemu semua orang lagi," katanya kepada Sky Sports News.
"Saya menerima panggilan telefon Disember lalu, iaitu selepas parti Perayaan Natal. Claire Williams menghubungi saya dan saya menjangkakan dia akan mengucapkan, 'gembira sepanjang anda di sini, terima kasih untuk segalanya', tapi kemudian dia berkata, 'adakah anda mahu terus berlumba untuk kami tahun depan? Kami benar-benar mahukan anda'.
"Selepas perbualan itu, sukar bagi saya untuk mengatakan tidak untuk bekerja dengan sebuah pasukan yang benar-benar mengidamkan khidmat anda.
"Terutamanya pada tahun di mana kami perlu bermula dari bawah. Dengan peraturan jentera yang berbeza sama sekali, ia akan menjadi tahun yang paling sukar buat pemandu -- dan saya menyukainya.
"Saya gemar dengan permulaan baru, saya pasti pengalaman saya akan dapat membantu pasukan.
"Saya berharap dapat memandu sebuah kereta yang kompetitif dari perlumbaan pertama hingga yang terakhir. Saya amat bersemangat."
#berita F1 #berita sukan #F1 #Felipe Massa #Formula 1 #Williams
;